Isu melibatkan warga asing di negara ini sering kali diketepikan walaupun ada di antara mereka sudah bekerja lama di Malaysia. Akan tetapi, wujud satu NGO yang ditubuhkan sejak tahun 2016 iaitu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO). Pertubuhan ini oleh Setiausaha Agungnya, Hishamuddin Hashim dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk membela hak asasi manusia termasuk warga asing yang berada di Malaysia.

MHO berperanan memastikan hak kebebasan diri, nyawa dan kesamarataan di sisi undang-undang terpelihara untuk semua, termasuk warga asing iaitu buruh atau pelancong. Jadi, jika terdapat mana-mana individu yang mempunyai masalah dari segi perundangan dengan pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, MHO akan tampil untuk membantu mencari penyelesaian.

Di samping itu, MHO juga bekerjasama dengan NGO lain seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PEMA) dan Persatuan Peguam Malaysia untuk memberikan khidmat bantuan keselamatan kepada warga asing yang ditipu majikan mereka. Khidmat mereka juga termasuk memberikan bantuan kecemasan, khidmat nasihat undang-undang dan guaman bagi memastikan hak individu terbabit terus dipelihara.

MHO juga bekerjasama dengan NGO lain untuk membantu warga asing mendapatkan bantuan 

Antara masalah paling kerap berlaku kepada warga asing di negara ini adalah majikan tidak membayar gaji dan menyimpan dokumen perjalanan mereka. Warga asing juga akan mendapat bantuan guaman jika mereka terlibat dalam pemalsuan dokumen imigresen dan pihak MHO akan membantu untuk membuat tuntutan pampasan jika mereka terlibat dalam kemalangan ditempat kerja hingga meragut nyawa.

MHO pernah menyuarakan tentang permasalahan yang terjadi kepada rakyat Malaysia seperti 15,000 penduduk Sabah yang berdepan dengan status tidak memiliki kewarganegaraan kerana pelbagai faktor seperti ibu bapa tidak mendaftar perkahwinan kepada pihak berkuasa. Disebabkan itu MHO menggesa kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu tersebut.

Peranan MHO dalam membela hak asasi rakyat tempatan dan warga asing perlu dipuji rakyat Malaysia

Selain itu, MHO ada mencadangkan untuk kerajaan memperkenalkan visa khas khususnya untuk mereka yang pertama kali bekerja di luar negara supaya pemantauan dapat dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang mereka keluar dari negara ini, sekali gus mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan. Ini disebabkan oleh kes penipuan membabitkan 47 rakyat Malaysia di Banteay Meanchey, Kemboja Disember tahun lalu sehingga kes terbaru di Monrovia, Liberia yang menyaksikan lapan turut menjadi mangsa.

Walau bagaimanapun, MHO pernah dipalit dengan kontroversi pada tahun 2017 apabila tular di media sosial mengenai salinan memorandum oleh MHO kepada Istana Negara untuk melobi Sultan Muhammad V yang mana ketika itu masih menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA), melantik Pengarah Kastam di-Raja Malaysia dari kalangan bangsa Melayu berbanding kaum lain. Akan tetapi, perkara ini dinafikan oleh pihak MHO sendiri dan tidak mengetahui tentang kewujudan memorandum itu.

Justeru, MHO ini berperanan untuk membantu rakyat tempatan dan warga asing jika mereka memerlukan bantuan. Pertubuhan ini juga memastikan hak asasi warga asing terpelihara jika mereka ditipu oleh majikan atau terlibat dengan kes mahkamah. Maka, MHO ini dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik bersama NGO lain supaya rakyat Malaysia dan warga asing mendapat pembelaan dengan adil demi kebaikan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here