Perkembangan pesat industri halal Malaysia yang telah berjaya menembusi pasaran global terutamanya dalam sektor makanan halal telah melonjakkan nama Malaysia menjadikannya antara negara yang dihormati dan dipandang tinggi. Malaysia juga mempunyai kelebihan dari sudut prosedur pensijilan halal serta standard halal yang dibangunkan kerana melakukan prosedur pemeriksaan dan penilaian yang ketat oleh Bahagian Hab Halal, JAKIM. Malah standard halal Malaysia telah diterima diperingkat global dan mendapat kepercayaan daripada negara-negara OIC sebagai peneraju standard halal di antara negara-negara Islam yang diiktiraf dunia.

Produk jenama Hup Seng dieksport ke India

Sehubungan dengan itu, sekiranya Malaysia menjadi hub halal dunia, ia akan meningkatkan keuntungan eksport produk halal Malaysia ke luar negara. Sebagai contoh, eksport halal ke India meningkat 12 peratus kepada RM1.59 bilion pada 2018 daripada RM1.43 bilion pada tahun 2017. Banyak produk makanan dan minuman Malaysia seperti biskut Hup Seng, sos cili Limgham dan makanan Miaow Miaow mendapat sambutan baik di India. Secara tidak langsung ia menambah pendapatan dan ekonomi negara.

Realitinya, industri halal dapat menarik minat pelabur ke Malaysia. Sebagai contoh Taiwan mempunyai lebih 1,000 pengilang dan kedai makan yang disahkan halal berbanding 500 masing-masing di Korea dan Jepun yang mana, Taiwan mensasarkan Malaysia sebagai pasaran produk halal berikutan negara ini mempunyai lebih 20 juta rakyat Muslim. Ini menunjukkan Malaysia berperanan besar bagi pasaran halal seiring dengan permintaan yang semakin menggalakkan terutamanya untuk dieksport ke negara Islam.

Justeru, kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah merangka beberapa usaha serta program terutamanya Halal Industry Blueprint for 2008-2020 yang bertujuan untuk mencapai matlamat menjadikan negara sebagai pemimpin global dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan dalam sektor halal.

MASkargo mengendalikan Logistik Halal

Malah pihak kargo Malaysia Airlines Bhd, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) yang mengendalikan Logistik Halal akan memastikan produk makanan atau farmaseutikal yang diterima MASKargo dikendalikan dalam persekitaran halal yang ditetapkan JAKIM, bermula daripada penyimpanan di gudang, pengangkutan sehingga diterbangkan ke destinasi. Ini bagi memastikan produk halal diterima akan disimpan di gudang dijamin bersih dan selamat serta terasing daripada produk tidak halal bagi mengelak pencemaran.

Oleh itu semua pihak sewajarnya bekerjasama bagi memastikan Malaysia mampu menjadi peneraju halal global. Banyak negara Islam meyakini bahawa Malaysia mampu mewujudkan standard halal universal dan menjadi sebuah hab halal dunia kerana pengalamannya selama lebih 40 tahun dalam membangunkan pensijilan halal serta keupayaannya di kalangan negara-negara Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here