Malaysia berjaya meletakkan institusi pendidikan tinggi tempatan lebih berdaya saing dan bertaraf dunia sehingga mampu melahirkan graduan cemerlang dalam pelbagai bidang. Ini meliputi dasar berkaitan semua warga boleh mempunyai akses kepada pengajian tinggi dan menjadi pusat latihan kemahiran untuk mewujudkan tenaga mahir (ikhtisas dan separuh ikhtisas), dan universiti boleh dimiliki oleh institusi swasta.

Pada Jun lalu, QS World University ranking 2019 telah diumumkan. Ia satu penilaian tahunan yang memberikan pengiktirafan kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) terbaik di seluruh dunia. Berbanding tahun sebelum ini, ranking 2019 dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan ranking 2019, sebanyak 13 universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1,000 universiti terbaik dunia. Bilangan ini tertinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016 dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018.

Senarai Universiti Awam yang tersenarai dalam (QS) World University Rankings

Universiti Malaya (UM) muncul universiti terbaik di negara kita apabila berjaya menembusi kelompok 100 universiti terbaik di dunia dengan berada pada kedudukan 87, meningkat dari kedudukan ke-114 tahun lalu. Dengan kedudukan ini, UM berjaya mengatasi banyak universiti ternama lain seperti Purdue University, Uppsala University, dan University of Aberdeen. Ia turut mencatat sejarah sebagai universiti pertama di Malaysia berada di kelompok 100 terbaik dunia. Empat universiti penyelidikan lain terus mengukuhkan kedudukan sebagai lima universiti terbaik di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan ke-184 berbanding kedudukan 230 pada tahun lalu, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-202 berbanding kedudukan 229 pada tahun lalu. Universiti Sains Malaysia (USM) pula pada kedudukan ke-207 berbanding 264 pada tahun lalu dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan ke-228 berbanding 253 pada tahun lalu.

Penarafan dan ranking dibuat dalam menilai prestasi universiti adalah menggunakan indikator kriteria berdasarkan peratusan serta hasil laporan daripada kajian tinjauan atau selidik (survey) yang telah dilakukan oleh pihak QS World University. Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa kriteria asas dalam menentukan kedudukan ranking universiti. Berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan penilaian tertinggi bagi penilaian QS adalah Reputasi Akademik setiap IPT iaitu sebanyak 40% di mana pendapat lebih 80,000 pakar pendidikan di seluruh dunia dinilai mengenai kualiti pengajaran dan penyelidikan di universiti-universiti yang dinilai. Secara tidak langsung, faktor ini melambangkan pendapat pakar bidang akademik.

Selain itu, reputasi majikan pula membentuk 10% daripada penilaian mendapatkan pandangan daripada majikan-majikan berkenaan mengenai graduan-graduan yang diambil bekerja oleh mereka dan dari mana graduan yang paling kompeten, inovatif dan berkesan. Penilaian ini menunjukkan bagaimana sesuatu IPT berjaya atau tidak di dalam menyediakan para graduan untuk menceburi bidang kerjaya di peringkat dunia. Tidak terkecuali nisbah fakulti kepada penuntut membentuk 20% daripada keseluruhan penilaian. Kualiti pembelajaran menjadi faktor penting kepada penuntut di dalam menilai sesuatu IPT. Salah satu faktor yang mempengaruhi kualiti pembelajaran adalah nisbah fakulti kepada penuntut. Kadar ini menentukan kemudahan seseorang graduan mendapatkan akses kepada pensyarah dan tutor, seterusnya memudahkan proses pengajian.

Pencapaian membanggakan yang ditunjukkan oleh Universiti Awam Malaysia dalam ranking universiti dunia oleh badan penaraf dunia sedikit sebanyak memberi petunjuk positif bagaimana tahap pendidikan negara telah meningkat dengan kejayaan-kejayaan beberapa Universiti Awam Malaysia yang berjaya memperbaiki kedudukan ranking mereka. Ini menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan dari segi kualiti pendidikan, penyelidikan oleh pihak universiti dan penerimaan pelajar-pelajar negara luar ke atas pusat pengajian tinggi negara.

UM universiti terbaik Malaysia tahun 2019

Justeru, kerajaan perlulah menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan universiti antarabangsa untuk program penawaran latihan dan pendidikan transnasional. Sebagai contoh, program pertukaran melibatkan penuntut universiti tempatan untuk belajar di universiti antarabangsa dalam tempoh setahun bagi mendapatkan lebih banyak pendedahan mengenai suasana belajar di universiti antarabangsa dan pada masa yang sama penuntut dari universiti berkenaan boleh belajar di Malaysia. Kerajaan dan universiti awam Malaysia perlu terus berganding bahu bagi memantapkan lagi prestasi pendidikan dan pencapaian universiti awam agar Malaysia dapat dijamin sebagai hab pendidikan antarabangsa yang dikenali dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here