Malaysia sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan utama dunia. Oleh itu, sektor pelancongan telah diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur pula telah dikenali di seluruh dunia sebagai syurga membeli belah yang meriah terdiri daripada pusat membeli-belah mega sehingga pasar lambak mahupun pasar malam. Boleh dikatakan KL mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pengunjung-pengunjung.

Malah statistik yang diperoleh daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tangga ke-12 sebagai negara yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara maju yang menjadi pilihan utama destinasi pelancongan.

Bukan itu sahaja, pada tahun 2012, KL berada pada kedudukan keempat dalam rancangan 10 Bandar Terbaik untuk Membeli-Belah di Dunia CNN, mengatasi ibu kota fesyen Paris dan Hong Kong. Tambah menarik lagi, Kuala Lumpur juga dinamakan sebagai salah satu daripada 10 bandaraya yang wajib dikunjungi di dunia, berdasarkan MasterCard’s Global Destination Cities Index 2012 (Indeks Bandar Raya Destinasi Global MasterCard 2012), yang menggambarkan bilangan pelancong yang ramai ke sini.

Oleh itu, hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga membeli belah dan tempat hiburan keluarga bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilaksanakan memandangkan Malaysia sudahpun mempunyai kredibiliti yang tersendiri dalam sektor pelancongan. Hal ini kerana pusat membeli-belah yang terdapat di ibu negara menjanjikan kepelbagaian, nilai serta kemudahan. Pusat beli-belah memenuhi setiap cita rasa dan bajet untuk semua golongan tidak kira tua, muda, peminat fesyen, sukan, mahupun penggemar permainan.

Times Square antara pusat membeli belah terkemuka di Malaysia

Bagi penggemar teknologi yang ingin memiliki gajet terbaharu pasti tahu yang mereka perlu menerjah Plaza Low Yat, yang dinobatkan sebagai ‘Malaysia’s Largest IT Lifestyle Mall’ oleh Malaysia Book of Records manakala mereka yang mencari fabrik berkualiti dengan harga yang munasabah biasanya akan menuju ke Lorong Tunku Abdul Rahman, sebuah destinasi popular untuk mereka yang ingin membeli sutera dan bahan berkualiti yang lain. Selain itu, bagi pengunjung yang mencari pakaian gaya Asia yang terbaru dan mampu milik semestinya akan mengunjungi Berjaya Times Square dan Plaza Sungei Wang.

Pengecualian cukai ke atas sesetengah barangan telah menjadikan pengalaman membeli-belah di Malaysia lebih menarik. Kewujudan pusat membeli-belah di serata negeri di Malaysia seperti Johor Premium Outlet di Johor, Mitsui Outlet Park di Sepang, Freeport A’Famosa, dan Genting Highlands Premium Outlet di Genting Highlands merancakkan lagi ekonomi Malaysia.

Manakala di ibu negara pula, boleh kita lihat terdapat pusat beli-belah berhawa dingin yang moden dan gedung serba-serbi seperti yang ditemui di Suria KLCC, Pavilion, Avenue K, Midvalley Megamall dan NU Sentral sehinggalah ke butik khusus dan pusat kraf tangan seperti yang terdapat di Pasar Seni, bazar dan pasar malam. Oleh itu, KL menjadi destinasi membeli belah yang terkenal dan menjadi tumpuan antarabangsa kerana bukan sahaja menawarkan harga berpatutan malahan kerajaan juga menyediakan infrastruktur yang mesra pelanggan dan sistem pengangkutan awam yang efisyen bagi para pelancong.

Selain kewujudan pusat membeli-belah yang menjadi tarikan pelancong, kini di Malaysia terdapat pelbagai taman tema yang menjadi pusat hiburan keluarga. Kewujudan taman tema dan taman tema air seperti Sunway Lagoon, Legoland, Desaru Coast, Bangi Wonderland, Bayou Lagoon Park, I-City, Lost World of Tambun, MAPS Studio dan pelbagai lagi taman tema yang dibina bukan sahaja mampu menarik minat pelancong asing malahan dapat menarik minat pelancong tempatan untuk berhibur bersama keluarga. Kewujudan pelbagai taman tema terutama yang menawarkan konsep boleh dikunjungi seisi keluarga, mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai sekaligus memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi negara.

Ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak di Taman Tema Genting Highland

Justeru itu, hasrat kerajaan ini mampu tercapai jika kementerian dan pihak yang terbabit perlulah menjalankan usaha promosi yang berterusan bagi menarik lebih ramai lagi pelancong asing ke Malaysia. Kolaborasi di antara kerajaan dan syarikat penerbangan untuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus ke destinasi menarik di Malaysia amat digalakkan sebagai salah satu usaha menarik pelancong. Oleh itu, pembangunan pelancongan seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan kerana industri pelancongan memberi sumbangan penting kepada ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here