Keputusan kerajaan untuk mempertimbangkan penutupan Malaysian Airlines (MAS) adalah suatu langkah yang boleh dikatakan tidak adil bagi pihak-pihak berkepentingan selain daripada boleh menjejaskan reputasi dan imej Malaysia.

Kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung nasib syarikat penerbangan MAS)

MAS merupakan salah satu daripada 44 buah syarikat pegangan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah). Pada 2018, Khazanah mencatatkan kerugian yang pertama dalam tempoh 10 tahun iaitu RM7.3 bilion. Hampir separuh daripada kerugian itu dicatatkan oleh MAS iaitu RM3 bilion. Jumlah kerugian Khazanah meningkat sehingga RM5 bilion berbanding 2017.

MAS telah menerima suntikan dana daripada Khazanah berjumlah RM6 bilion bagi tujuan penstrukturan semula dan dana pelaburan kepada pembaharuan MAS. Pelan pemulihan ini telah memasuki fasa akhir.  Tujuan Khazanah mengambil alih MAS adalah untuk membaik pulih syarikat penerbangan itu daripada terus ditimpa kerugian. Namun, walaupun MAS sudah memasuki tempoh lima tahun ‘pemulihan’ di bawah Khazanah, tetapi syarikat penerbangan kebangsaan ini masih tidak mencatatkan sebarang keuntungan.

MAS adalah identiti negara dan syarikat penerbangan kebangsaan. Jika Jepun berbangga dengan Japan Airlines, Singapura pula dengan Singapore Airlines maka Malaysia juga perlu mempunyai identiti penerbangan sendiri iaitu MAS. Jadi mengapa perlu ditutup syarikat penerbangan ini? Ya, syarikat ini sememangnya hanya mencatatkan kerugian sejak ia diswastakan pada tahun 2014, tetapi kerajaan perlu memikirkan langkah lain seperti mengenal pasti agensi yang sesuai mengendalikan MAS di atas dasar agenda nasional.

MAS syarikat penerbangan yang mewakili Malaysia

Secara jujurnya keputusan untuk menutup MAS adalah tidak wajar kerana ianya bukanlah penyelesaian jangka panjang yang baik. Tujuan Khazanah mengambil alih MAS disebabkan agenda nasional. Jika bukan Khazanah yang bertindak untuk mempertahankan syarikat  milik kerajaan (GLC) yang penting kepada negara, agensi mana yang sanggup pikul tanggungjawab ini?

Kerajaan juga perlu mengambil kira nasib pekerja MAS jika benar langkah penutupan ini berlaku. Walaupun ada pendapat menyatakan bahawa pekerja-pekerja MAS akan disalurkan ke syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air dan Air Asia, namun mempertahankan MAS adalah maruah negara.

Pengurusan perniagaan penerbangan adalah suatu perkara yang kompleks. Perniagaan penerbangan tidak sama seperti perniagaan makanan, pakaian atau taman tema. Jika Khazanah tidak mampu untuk meneruskan mengendalikan MAS, maka kerajaan perlu ada langkah baru iaitu dengan memberikannya kepada agensi lain.

Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyatakan langkah lain bagi mengatasi masalah MAS seperti menjual atau menyuntik dana baharu kepada syarikat itu, namun Khazanah sebenarnya gagal membaca arus pasaran yang dinamik bagi pengendalian sebuah perniagaan penerbangan.

Secara jujurnya, Khazanah bukanlah agensi yang sesuai untuk mengendalikan sebuah syarikat penerbangan. Jika ada agensi baharu untuk menyelamatkan MAS, mereka haruslah mengenepikan pulangan atas pelaburan dalam masa terdekat, tetapi mampu memulihkan MAS. Khazanah menyasarkan pulangan dalam kadar yang cepat terhadap MAS kerana mereka menumpukan kepada strategi pelaburan komersial.

Langkah yang drastik perlu dilakukan dalam kadar segera oleh pihak kerajaan untuk memulihkan MAS. Cadangan penutupan MAS adalah keputusan ‘malas fikir’ daripada pihak yang berkenaan. Mungkin MAS perlu mengambil langkah seperti Air Asia dengan memberi tumpuan penerbangan ke kawasan yang mendatangkan keuntungan selain daripada mengurangkan perjalanan domestik. Perjalanan domestik dimonopoli oleh Air Asia kerana konsep tambang murahnya. Maka MAS perlu memberi tumpuan kepada penerbangan antarabangsa, atau jika syarikat penerbangan kebangsaan ini berminat untuk melakukan penerbangan domestic, maka konsep ‘tambang mampu milik’ perlu diaplikasikan di dalam syarikat penerbangan MAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here