“I’m not Chinese, I’m Malaysian”. Itulah bait perkataan yang diucapkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sidang media pembentukan kerajaan baharu sejurus Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 10 Mei tahun lalu. Apa itu konsep Malaysian Malaysia? Ia adalah sebuah konsep yang mengamalkan kesamarataan semua kaum secara liberal yang diasaskan oleh People Action’s Party (PAP) dan menolak konsep ketuanan Melayu. Setelah Singapura keluar dari gabungan Malaysia pada tahun 1965, konsep ini diteruskan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Council yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik. Tujuan utama konsep ini diperkenalkan adalah bagi membantah Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai Hak Keistimewaan kepada Orang Melayu dan Bumiputera. Ini kerana menurut mereka orang bukan Bumiputera yang diberi kerakyatan negara ini juga berhak untuk mendapatkan keistimewaan yang sama. Dalam erti kata lain, apa yang dinikmati oleh kaum Melayu dan Bumiputera, bangsa lain juga mempunyai hak untuk menuntut.

Pengasas kepada konsep Malaysian Malaysia, Mendiang Lee Kwan Yew

Artikel 153 ini telah ditetapkan bagi menyusun semula ketempangan dasar British yang menjajah Malaya dari tahun 1824 hingga 1957 dengan mengutamakan para pendatang asing seperti orang Cina dan India. Namun, bagi parti yang memperjuangkan slogan ini mempunyai pendirian mereka sendiri mengenai konsep tersebut. Alasan mereka adalah Malaysia adalah sebuah negara milik rakyat Malaysia dan bukannya milik sesebuah kaum. Ini bermakna, mereka menolak dasar dan amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum, agama, gender dan lain-lain perkara kerana menganggap ia merupakan satu diskriminasi. Akan tetapi, mereka masih berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Walau apapun alasannya, pengenalan Malaysian Malaysia ini harus disemak dan dikaji tentang kerelevenannya untuk dilaksanakan di dalam negara ini. Hal ini kerana sekiranya konsep Malaysian Malaysia ini diamalkan tanpa dikaji, dkhuatiri akan menimbulkan beberapa implikasi yang mungkin akan memburukkan lagi Malaysia. Antara implikasi yang mungkin bakal timbul adalah berlakunya krisis terhadap Perlembagaan Persekutuan melibatkan Hak Keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera. Ini kerana hak kesamarataan telah pun diamalkan dan kaum bukan Bumiputera boleh mendapat hak total terhadap rizab yang dikhaskan kepada kaum Melayu dan Bumiputera.

Selain itu, implikasi lain yang boleh dilihat adalah kesan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi dan juga institusi diraja Melayu. Malaysia adalah sebuah negara yang dibina dari asas kaum dan agama majoriti. Jadi, sekiranya konsep ini diamalkan, maka tiada lagi keistimewaan yang dapat dinikmati dan agama rasmi negara ini juga boleh diperkotak-katikkan dek kerana kesamarataan agama yang diamalkan oleh rakyatnya.

Malaysia merupakan sebuah negara mengamalkan toleransi terhadap semua kaum tanpa memerlukan konsep Malaysian Malaysia

Ironinya, konsep Malaysian Malaysia ini tidak sesuai untuk diamalkan di negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama. Ini kerana Malaysia juga adalah sebuah negara multicultural dan akan kekal sebagai negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama dengan bangsa Melayu serta Islam sebagai terasnya. Konsep Malaysian Malaysia dengan konteks kedudukan istimewa Melayu dan Islam bagai air dengan minyak, tidak boleh bersatu. Kedudukan istimewa Melayu dan Islam memerlukan pelaksanaan dasar yang bersifat afirmatif manakala konsep Malaysian Malaysia menawarkan kesamarataan mutlak antara kaum dan agama.

Justeru, kerajaan disarankan untuk mempunyai pendirian yang tegas terhadap perkara ini. Ada sesetengah perkara yang boleh ditolak ansur. Namun, tidak pada Perlembagaan Persekutuan yang telah dirangka demi untuk memelihara Hak Keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Kemasukan kaum bukan Bumiputera adalah suatu keistimewaan, bukan hak. Menerima konsep ini adalah ibarat merelakan diri mereka untuk menjadi seperti Red Indian di Amerika Utara, Maori di New Zealand dan Bush People di Australia, bangsa yang dianaktirikan. Berpegang teguh terhadap prinsip Perlembagaan Malaysia agar keharmonian kaum sentiasa terbela dan kekal harmoni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here