Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru sahaja mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan program ‘Bossku’ sebagai program budak-budak.

Itu adalah pandangan peribadi beliau yang disuarakan di dalam sidang akhbar Mesyuarat Perwakilan UMNO Padang Rengas. Tidak pasti sama ada ketika menyuarakan pendapat itu beliau di dalam keadaan marah atau sebaliknya. Walau bagaimanapun kita perlu menghormati apa yang beliau suarakan.

Tetapi Nazri Aziz dan rakyat Malaysia tidak boleh menafikan perkataan ‘bossku’ yang biasa menjadi ayat bualan dalam kalangan orang Kelantan yang bermaksud ‘kawanku’ adalah fenomena yang berjaya menaikkan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan parti UMNO.

Nazri Aziz pada Mesyuarat Perwakilan UMNO

Kebanyakan pihak mendakwa fenomena ‘Bossku’ ini membawa impak yang negatif. Sedangkan ‘kawan’ di dalam parti sendiri menyatakan bahawa ‘Bossku’ adalah program budak-budak, apatah lagi ‘musuh’ di luar parti yang pastinya mempunyai tanggapan buruk terhadap fenomena ini.

Sukar untuk menafikan sepenuhnya jika ada ‘suara-suara’ yang memberikan tanggapan negatif. Mahu tidaknya, Najib masih lagi mempunyai rekod di mahkamah yang perlu disiasat atas pelbagai tuduhan.

Nazri Aziz dan rakyat Malaysia, terutamanya penyokong tegar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melihat fenomena ‘Bossku’ ini dari sudut yang positif. Beruntungnya rakyat Malaysia kerana mempunyai pembangkang yang digeruni oleh kerajaan supaya mampu membela dan menjadi timbang tara demi kelangsungan hidup rakyat.

Trend yang dibawa oleh Najib secara tidak langsung menarik minat anak muda untuk mengikuti perkembangan politik negara selain daripada menambah pengetahuan umum tentang perkara-perkara lain.

Beliau ada kelebihan sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun yang boleh digunakan sebagai ‘perisai’ dalam menyampaikan hujah dan fakta mengenai ekonomi negara dan rakyat. Rakyat tidak boleh menidakkan ada juga sedikit sebanyak kritikan mengenai kerajaan baharu di dalam laman sosial Najib Razak mendapat perhatian daripada kerajaan.

Februari 2019 di laman sosial Facebook, beliau ada mempertikaikan mengapa golongan bujang tidak mendapat Bantuan Sara Hidup (BSH) sedangkan bukan semua golongan bujang berkemampuan dan normal. Ada dikalangan mereka merupakan golongan OKU.

Status yang dimuat naik oleh Najib Razak

Perkara ini membuka mata Kementerian Kewangan untuk mengubah dasar iaitu golongan bujang layak menerima bayaran RM100 melalui BSH. Dasar ini berkuatkuasa pada Mac 2019, iaitu sebulan selepas Najib Razak mengkritik pelaksanaan yang dilakukan BSH di bawah Kementerian Kewangan.

Secara positifnya fenomena ‘Bossku’ bukanlah ancaman terbesar pada kerajaan PH jika mereka yakin bahawa kepimpinan mereka mampu menaikkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan baharu. Namun fenomena ini adalah cabaran kepada kerajaan untuk menerima dan memperbaiki kelemahan pimpinan melalui kritikan daripada pembangkang. Maka tiada sebab untuk kerajaan ‘gabra’ dengan fenomena ini.

Janganlah terlalu memikirkan sangat impak yang negatif. Anggap sahaja fenomena ini sebagai hiburan politik. Seperti kata ikon pelawak terkenal, Charlie Chaplin: “Satu hari tanpa gelak dan tawa adalah hari yang sia-sia”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here