Malaysia sering dikenali dengan negara berbilang bangsa dan agama tapi kebelakangan ini pelbagai isu sensitif mula timbul hingga menyebabkan ketegangan kaum serta agama. Ia boleh dilihat di dalam laman media sosial dengan isu seperti hak keistimewaan, tulisan jawi dan kebebasan beragama dijadikan bahan untuk menyemai kebencian serta wujudkan prasangka dan amarah kepada rakyat.

Apa yang lebih membimbangkan, tindakan sebegini disokong oleh kumpulan-kumpulan hak asasi atau NGO yang menuntut kerajaan bertindak mengikut kemahuan mereka tanpa mengira sensitiviti masyarakat. malah, provokasi berani oleh pihak sebegini kadang kala diselindungi oleh ahli-ahli politik yang mahu agenda tersendiri mereka diperjuangkan oleh kumpulan dan NGO tersebut.

Kumpulan hak asasi dan NGO kadang kala tidak menjaga sensitiviti masyarakat

Perkara sebegini perlu diambil perhatian kerajaan supaya rakyat negara ini mengamalkan nilai-nilai murni untuk mengelakkan kebencian antara kaum semakin menebal. Ini kerana nilai murni seperti hormat-menghormati, jujur dan amanah dapat membentuk masyarakat kelas pertama yang secara tidak langsung mampu menghormati serta menjiwai Rukun Negara.

Rukun Negara amat penting dihayati oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya kepada generasi muda dan lima prinsip Rukun Negara itu bukan sahaja dihafal, tetapi juga dipraktikkan. Jika setiap prinsip Rukun Negara bersebati dalam diri setiap rakyat sudah tentu Malaysia dapat menjadi negara contoh kepada dunia kerana ia menjadi tiang kepada pengukuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Rukun Negara perlu dihayati untuk mengukuhkan perpaduan

Oleh kerana itu, rakyat negara ini perlu sedar tentang situasi yang berlaku pada hari ini kerana pelbagai isu sensitif mula dijadikan bahan untuk menyemarakkan api perkauman dalam masyarakat. Ianya berpunca apabila masyarakat tidak mengambil berat tentang nilai-nilai kehidupan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Apabila kurangnya nilai-nilai tersebut maka mudahlah untuk pihak tidak bertanggungjawab membuat hasutan kepada rakyat. Maka sudah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara untuk kembali menghayati Rukun Negara semula bagi menjaga keharmonian negara serta rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here