Penganjuran Ekspo Tatu Malaysia 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 November sehingga 1 Disember lalu dilihat sebagai salah satu acara yang amat memalukan buat negara. Manakan tidak, ekspo yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu dicemari dengan insiden pertunjukan tatu separuh bogel yang secara terang-terangan melanggar adat dan tatasusila rakyat Malaysia.

Walaupun acara ini mendapat permit daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak penganjur seharusnya mengambil pendekatan menghormati nilai-nilai budaya yang ada di Malaysia. Ini bukan pertama kali acara ini dianjurkan, malah sudah memasuki tahun keempat sejak 2015. Mengapa kali ini pihak penganjur tidak mematuhi spesikasi yang telah digariskan oleh MOTAC?

Penganjur ekspo tatu tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia yang penuh adab dan kesopanan.

Dalam hal ini, pihak penganjur seharusnya bersikap lebih sensitif dalam menganjurkan sebarang acara di negara-negara luar. Ini penting dalam memastikan nama baik negara tersebut dijaga selaku tuan rumah selain dapat mengekalkan penganjuran acara tersebut di tahun-tahun mendatang agar tidak disekat atau lebih tepat lagi diharamkan. Jika acara ini hendak dilakukan di negara-negara Asia yang mementingkan adab dan tatasusila seperti Malaysia, maka pihak penganjur wajib mengikuti panduan yang telah digariskan seperti dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan tidak menjalankan aturcara majlis secara semberono walaupun dalam keadaan tertutup.

Sekiranya pihak penganjur masih ingkar dan tidak mematuhi garis pematuhan dalam penganjuran ekspo di negara ini, maka impak yang besar dapat dilihat dari segi pengharaman bagi acara tersebut untuk dijalankan secara mutlak di Malaysia. Hal ini kerana ia memberikan tanggapan negatif terhadap negara yang selama ini amat mementingkan nilai adab dan budaya kesopanan.

Selain itu, impak lain yang dapat dilihat adalah pengaruh terhadap para belia. Seperti yang diketahui, penganjuran ekspo tatu kali ini diadakan di ruangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang merupakan tempat tumpuan para remaja untuk bersiar-siar. Dengan penganjuran ekspo tersebut, maka tidak mustahil para belia khususnya yang beragama Islam boleh terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya mencacah tatu di badan memandangkan ia sudah dilakukan secara terbuka.

Penganjuran Ekspo Tatu Malaysia 2019 turut mendapat reaksi negatif dari Raja Permaisuri Agong

Justeru, kerajaan disarankan untuk menggubal satu akta khas bagi penganjuran sesuatu acara buat penganjur sama ada dari dalam atau luar negara. Ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku hingga menyebabkan nama baik Malaysia di pandang negatif oleh negara-negara dunia. Hal ini juga perlu dalam memberi pengajaran kepada pihak penganjur supaya mematuhi garis panduan undang-undang di Malaysia selain menghormati adab sesebuah negara yang amat mementingkan nilai kesopanan dan kesusilaan sebagai tatacara hidup mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here