Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata berdasarkan jumlah pendaftaran syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), daripada hampir satu juta syarikat yang didaftarkan di bawah SSM hanya 40 peratus sahaja yang dimiliki oleh usahawan Bumiputera.

Sementara itu, menurut Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, jumlah terkini golongan usahawan dari kalangan Bumiputera adalah sebanyak 970,000 orang dan daripada jumlah tersebut hanya lapan peratus iaitu kira-kira RM104 juta sahaja yang disumbangkan ke dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa kini. Tambah beliau, jumlah ini terlalu rendah berbanding nilai keseluruhan KDNK iaitu RM1.3 trilion.

IKBN dan GIATMARA merupakan antara institusi yang menyediakan latihan di dalam bidang keusahawanan kepada golongan Bumiputera

Mengapa hal ini terjadi? Sedangkan terdapat pelbagai latihan yang disediakan oleh kerajaan melalui institut-institut yang disediakan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Pusat Giat Mara. Malah, sebanyak RM4.5 bilion peruntukan dalam bentuk geran telah disediakan oleh kerajaan dalam usahawan Bumiputera ini.

Jika dilihat, antara faktor utama yang menjadi penyumbang kepada kemerosotan usahawan Bumiputera di negara ini adalah kurangnya disiplin diri dalam memajukan syarikat mereka selain tidak berfikiran secara kreatif dalam membentuk perniagaan mereka. Malah, sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan juga menjadi punca mengapa hal ini berlaku.

Hal ini membuatkan mereka merasa terlalu selesa sehinggakan mereka terlupa akan pesaing-pesaing lain yang sentiasa mencari peluang untuk memajukan diri. Akibatnya, perniagaan yang diusahakan oleh para usahawan Bumiputera berdepan dengan masalah dan akhirnya “gulung tikar”.

Di samping itu, kebanyakan para usahawan Bumiputera ini juga berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam membina empayar perniagaan mereka. Antaranya ialah kurangnya sokongan moral dari pelbagai pihak hingga mereka berasa tiada keperluan lagi untuk mereka meneruskan usaha mereka dalam bidang usahawan ini.

Selain itu, saingan di pasaran juga turut menjadi cabaran kepada usahawan Bumiputera untuk bertapak di negara ini. Hal ini kerana dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, mereka terpaksa bersaing dengan usahawan bukan Bumiputera dalam menyediakan produk berdasarkan permintaan pasaran yang semakin lama semakin merosot.

Dalam hal ini, kerajaan disarankan untuk mencari solusi bagi menarik minat golongan Bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Walaupun terdapat banyak bengkel latihan yang disediakan oleh kerajaan, ia masih belum cukup untuk menarik minat mereka dalam mempelajari bidang ini. Sebagai saranan, pihak MED mungkin boleh menyediakan satu siri jelajah pendidikan ke semua sekolah-sekolah kerajaan bagi menarik minat golongan belia Bumiputera dalam menceburi bidang ini.

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan platform awal untuk golongan Bumiputera menjinakkan diri dalam bidang perniagaan

Selain itu, pihak institut- institut kemahiran juga digalakkan untuk menjadi lebih kreatif dalam menarik minat golongan Bumiputera mendalami selok-belok dunia keusahawanan secara kreatif. Hal ini kerana banyak pasaran keusahawanan pada masa kini menggunakan teknologi media sosial dalam membentuk idea kreatif terutamanya dalam bidang perniagaan.

Justeru, peranan dari semua pihak amatlah diperlukan bagi memantapkan industri keusahawanan dari kalangan Bumiputera. Golongan ini mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang tersebut jika diberi dorongan dan latihan yang sewajarnya. Malah dalam satu perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jumlah populasi Bumiputera tiga tahun kebelakangan ini meningkat dari 19,721.7 pada tahun 2016 kepada 20,071.9 pada tahun 2018. Jumlah itu dijangka akan terus meningkat menjelang 2040 dan dengan jumlah peningkatan tersebut, amatlah mustahil sekiranya tiada individu di kalangan belia Bumiputera yang berminat dalam bidang keusahawanan dan bercita-cita untuk memajukan diri dalam perniagaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here