Sistem VEP (Vehicle Entry Permit) merupakan suatu permit dalam bentuk dokumen yang membenarkan kenderaan negara luar untuk masuk dan berada di Malaysia. Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan bahawa sistem VEP akan diperkenalkan untuk kenderaan negara luar masuk ke dalam Malaysia. Mulai 1 Oktober 2019, mana-mana individu yang memandu kenderaan luar masuk ke dalam negara melalui mana-mana laluan, tempat mendarat, check point atau laluan kemasukan perlu memohon dan mendaftarkan kenderaan tersebut terlebih dahulu dengan sistem VEP.

Pelaksanaan caj VEP sebanyak RM20 akan dikenakan ke atas bagi setiap kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dari Singapura. Bagi memudahkan urusan ini, pendaftaran VEP boleh dilakukan secara online melalui laman web https://vep.jpj.gov.my. Setelah pendaftaran dilakukan, pemilik kenderaan akan menerima notifikasi melalui e-mel untuk menempah masa pemasangan tag VEP-RFID. Hanya kenderaan yang terpasang dengan peranti VEP-RFID akan dibenarkan masuk ke dalam Malaysia bila ia dikuatkuasakan nanti.

Permit kemasukan kenderaan mula 1 Oktober 2019 -Fasa 1 untuk Singapura

Sehubungan dengan itu, penggunaan VEP ini akan dimulakan secara berperingkat dan untuk Fasa 1, kesemua kenderaan asing yang masuk ke Malaysia melalui Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di sempadan Johor – Singapura akan bermula pada 1 Oktober 2019. Manakala Fasa 2 pula akan membabitkan semua pusat kemasukan kenderaan dari Thailand dan fasa terakhir membabitkan kenderaan-kenderaan asing yang masuk melalui sempadan Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Pelaksanaan VEP yang bakal dikenakan terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini menerusi pintu masuk di sempadan negara ini merupakan langkah tepat yang diambil kerajaan. Ini kerana terdapat pelbagai manfaat yang diperoleh daripada pelaksanaan VEP antaranya adalah ia dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan kerana pelaksanaan peraturan itu bakal dilengkapi data yang komprehensif berhubung rekod kenderaan yang keluar dan masuk negara ini. Selain itu, caj yang dikenakan pula dapat membantu bukan sahaja untuk menambah baik sistem jaringan pengangkutan, malah dapat memberi faedah dalam konteks lebih luas termasuk menambah pendapatan negara dan menjamin soal kebajikan rakyat.

Pendaftaran VEP boleh dilakukan secara online melalui laman web https://vep.jpj.gov.my.

Di samping itu, menerusi sistem VEP ini, ia juga akan membantu pihak berkuasa Malaysia mengenalpasti mana-mana kenderaan pendaftaran asing yang masih belum menyelesaikan saman trafik di negara ini, menyita kenderaan klon yang dibawa masuk menerusi negara jiran dan juga mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang berada di negara ini melebihi had tempoh yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci sebelum melaksanakan sistem VEP kerana terdapat beberapa kelemahan yang akan timbul nanti. Antaranya penguatkuasaan VEP terhadap semua jenis kenderaan dari Thailand, Brunei dan Indonesia yang ingin memasuki Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), perlu dipermudahkan atau mesra pengguna agar tidak merumitkan urusan keluar masuk ke sempadan tidak menjadi masalah kepada pengguna warga asing yang ingin ke Malaysia. Selain itu, satu masalah yang akan timbul, pengguna juga akan menghadapi gangguan semasa mendapatkan kemudahan sistem VEP itu. Ini kerana pelaksanaan sistem ini akan menyebabkan berlakunya kesesakan kepada pengguna di pusat-pusat pemasangan tag VEP yang menyediakan kemudahan itu nanti. Justeru, pihak kementerian perlu mengambil kira masalah ini agar ianya tidak menjadi beban kepada pengguna.

Rata-rata netizen memberi reaksi positif berhubung pelaksanaan sistem ini dilaksanakan dengan segera agar rakyat mampu menikmati penjimatan RM100 juta jika Kerajaan Persekutuan melaksanakan khidmat bayaran bagi Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas setiap kenderaan asing yang memasuki Johor dari Singapura. Kita lihat sahaja Singapura yang sudah meraih kutipan beratus juta dolar dari caj VEP kenderaan Malaysia yang memasuki pulau berkenaaan. Sudah tiba masanya Malaysia juga mengambil langkah sama dalam mengenakan caj permit terhadap kenderaan asing dari Singapura dan negara asing lain. Kutipan RM100 juta itu boleh digunakan bagi penyelenggaraan jalan, membantu kebajikan pelajar miskin dan anak yatim serta membaikpulih taraf kehidupan rakyat.

Justeru, pelaksanaan VEP adalah salah satu langkah terbaik bagi memudahkan kerja-kerja pemantauan kenderaan asing yang keluar masuk sempadan kedua belah negara selain salah laku pemilik kenderaan juga dapat dikesan dengan lebih efisien. Apa-apa pun kita tunggu sehingga sistem ini beroperasi sepenuhnya, baru kita mula tangani kelemahan yang timbul selepas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here