Apa itu Bon Samurai? Bon Samurai ialah penerbitan bon yang dikeluarkan oleh kerajaan Jepun dalam bentuk mata wang Yen. Bon ini merupakan pelaburan hutang yang mana pelabur meminjam sejumlah wang yang tertentu kepada sesebuah negara untuk suatu jangka masa yang tertentu, pada kadar faedah yang tertentu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap terbitan kedua bon Samurai dapat direalisasikan bagi membayar hutang negara yang tinggi. Malah Malaysia telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi terbitan tersebut. Pada kali ini, Jepun menawarkan kadar faedah yang lebih rendah iaitu 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus yang diberikan bagi pinjaman bon Samurai sebelum ini.

Kadar Faedah Bon Samurai hanya 0.50 peratus

Sehubungan dengan itu, dari segi perspektif kadar faedah yang ditawar bon Samurai tersebut sangat menguntungkan kerajaan. Apatah lagi kerajaan mendapat kadar 0.5 peratus setahun yang boleh dianggap antara termurah. Jika dibandingkan dengan bon-bon terbitan 1MDB atau bon-bon antarabangsa lain yang mencecah antara 4 peratus sehingga 6 peratus, bon Samurai menguntungkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keburukan bon Samurai ini kepada kerajaan antaranya kos pertukaran mata wang juga perlu diambil kira kerana wang ini akan digunakan di Malaysia. Menukar JPY200 bilion ke dalam mata wang Ringgit tentulah akan mempunyai yuran yang perlu dibayar. Namun begitu kerajaan boleh membuat pembayaran secara ansuran dan kadar faedah juga berdasarkan baki pinjaman setiap tahun. Tetapi, pada masa yang sama kerajaan juga perlu membayar kadar faedah semi tahunan dan akan membayar secara penuh pada penghujung kematangan bon. Sekiranya kerajaan gagal membayar balik pinjaman yang harus dilunaskan dalam matawang Yen ini, maka tindakan perundangan akan dikenakan tertakluk kepada undang-undang Jepun berdasarkan terma yang telah dipersetujui.

Realitinya, hutang bon Samurai yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dengan jaminan kerajaan asing bakal menjadikan ekonomi Malaysia lebih terdedah kepada mata wang asing terutama Yen. Namun begitu, dalam tempoh 10 tahun, tiada siapa berani mengatakan bahawa nilai Yen tidak akan berubah jika Yen mengukuh berbanding Ringgit, maka nilai pertukaran wang asing melebarkan jurang. Ini bakal menyebabkan Malaysia akan membayar lebih banyak kepada pihak Jepun, sedangkan nilai Ringgit sendiri masih lemah bukan sahaja dengan US Dolar, tetapi juga dengan mata wang serantau seperti Indonesia Rupiah dan Thai Baht.

Justeru, kejayaan kerajaan mendapatkan bon Samurai ini adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati hasil kutipan berkenaan. Ini kerana hasil kutipan daripada terbitan bon Samurai itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur.

Hasil kutipan bon digunakan untuk membina infrastruktur seperti jalan raya

Malah, peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan Jepun ke Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai telah meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini, selain mempelbagaikan asas pembiayaan Kerajaan Malaysia. Ini membuktikan bahawa Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pelaburan yang menarik oleh pelabur asing, lebih-lebih lagi dengan komitmen kerajaan untuk mentadbir berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Oleh itu, ada baik dan buruknya Bon Samurai ini kepada kerajaan memandangkan jika bon ini dikeluarkan tanpa tujuan spesifik, maka ia akan dibelanjakan sesuka hati oleh kerajaan untuk pengurusan dan pengenalan projek baharu bagi keuntungan pihak tertentu. Natijahnya nanti, bukanlah kerajaan mengurangkan hutang tetapi menambah hutang. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bon ini memberi banyak faedah kepada negara terutama dalam mengurangkan beban kewangan dan soal pembangunan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here