Pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat nelayan di negara ini sekaligus membantu rakyat mengurangkan peningkatan kos sara hidup.

Antara inisiatif kerajaan bagi membantu golongan nelayan adalah dengan memperkenalkan program atau jenama Q’Fish. Program ini merupakan satu penjenamaan semula menggantikan Program Ikan Rakyat LKIM yang mula diperkenalkan pada tahun 2013.

Pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan matlamat LKIM untuk memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dan mewujudkan stok simpanan ikan segar beku. Bukan itu sahaja, objektif utama program tersebut adalah untuk menawarkan ikan segar beku berkualiti sebagai pilihan dengan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Q’Fish: ikan sejuk beku berkualiti yang dijual dengan harga berpatutan kepada pengguna

Program Q’Fish ini melibatkan penyertaan daripada Persatuan Nelayan yang terpilih bagi tujuan pembekalan dan pengedaran Q’Fish ke outlet. Pelantikan pembekal ini bertujuan untuk mengawal harga dan memastikan kualiti ikan mencapai standard yang ditetapkan.

Program Q’Fish merupakan satu inisiatif yang bermanfaat terutamanya sebagai salah satu kaedah untuk mengatasi kekurangan bekalan ikan yang boleh mengakibatkan harga ikan melambung di pasaran lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh. Namun, pelaksanaan sistem ini mestilah berhadapan dengan pelbagai kesan tidak kira sama ada ia baik atau buruk.

Antara kesan baik yang boleh dilihat daripada pelaksanaan Q’Fish adalah ia sememangnya membantu golongan para nelayan dari segi penjanaan ekonomi mereka selain dapat mengekalkan bekalan ikan di negara ini. Hal ini kerana dengan bantuan kerajaan dalam mempromosikan hasil nelayan tempatan, ia secara tidak langsung menjana taraf hidup mereka yang selama ini dihimpit kemiskinan dan dapat memenuhi bekalan hasil laut di pasaran berikutan permintaan yang tinggi daripada peraih dan juga restoran-restoran makanan laut.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Q’Fish ini juga bakal berhadapan dengan kesan buruk seperti bekalan ikan yang tidak menentu dan hasil laut yang tidak bermutu tinggi. Ini disebabkan keadaan laut dan juga pencerobohan nelayan asing secara haram yang terlebih dahulu mengaut hasil laut di perairan negara. Oleh itu, pihak berkuasa maritim dan LKIM perlulah memainkan peranan dan kerjasama bagi mengekang keadaan ini.

Dalam hal ini, pelaksanaan Q’Fish dilihat sebagai langkah terbaik kerajaan dalam membantu golongan nelayan menjana ekonomi sara hidup mereka serta mengekalkan bekalan hasil laut pada kadar yang ditetapkan agar tidak terputus. Oleh itu, kerajaan disarankan agar sentiasa meneliti kesemua aspek pelaksanaan langkah ini dan berusaha untuk menaik taraf sistem Q’Fish agar sistem perikanan negara terus maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here