Pelan pemulihan buat Malaysia Airlines (MAS) pada ketika ini tidak mampu mengembalikan prestasi MAS yang semakin tercalar kerana terus menerus mencatatkan kerugian.

Kerugian RM6 bilion adalah kerugian paling besar buat Khazanah apabila melabur dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan MAS namun masih sukar untuk memulihkan prestasi syarikat penerbangan negara ini.

Salah satu langkah untuk menyelamatkan syarikat penerbangan nasional ini adalah dengan penjenamaan semula. Walaupun inisiatif ini pasti ditentang oleh pelbagai pihak namun penjenamaan semula ini amat diperlukan untuk menjamin masa depan MAS.

Tidak dapat dinafikan jenama MAS sudah kukuh dan melambangkan negara Malaysia. Namun, MAS pernah terpalit dengan tragedi malang yang sedikit sebanyak menjejaskan reputasi syarikat tersebut sekaligus menggugat kepercayaan pelanggan untuk menggunakan pesawat MAS.

Kejadian misteri kehilangan MH370 yang tidak dapat dirungkaikan sehingga kini dan tragedi malang MH17 ditembak jatuh mengakibatkan ramai yang mengelak menggunakan perkhidmatan MAS.

MAS menjadi kebanggaan Malaysia

Dengan penjenamaan semula, ia sedikit sebanyak akan menghakis memori terhadap tragedi yang pernah berlaku ke atas pesawat MAS. Penjenamaan semula ini menjadi titik permulaan kepada MAS dan dapat menunjukkan kepada dunia bahawa MAS mampu bangkit serta bersedia memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Inisiatif penjenamaan semula ini terbukti berkesan terhadap pesawat Korea Air Lines (KAL 007) yang juga mengalami tragedi di tembak jatuh seperti MH17. Namun kerajaan Korea bangkit dengan menjenamakan semula pesawat tersebut dan akhirnya mereka mampu mengharungi krisis seterusnya telah memegang ranking pesawat utama.

Apa yang lebih penting selain daripada rebranding adalah MAS perlu menyusun semula perniagaan mereka dengan membuat perubahan dalaman utama dalam syarikat. Mereka perlu menghapuskan jurang antara pihak atasan dan golongan bawahan kerana masalah utama MAS satu ketika dahulu adalah masalah komunikasi.

Selain itu juga, MAS perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan sebarang krisis terhadap syarikat penerbangan ini. Kebolehan syarikat penerbangan untuk menangani cabaran dan krisis yang berlaku menjadi titik tolak kepada kejayaan dalam industri penerbangan ini.

Tony Fernandes sedia mengambil alih MAS

Oleh itu, penjenamaan semula dan penstrukturan semula syarikat penerbangan ini dilihat wajar kerana akan memberi nafas baru dari segi hubungan antara syarikat penerbangan serta pelanggan. Penjenamaan semula syarikat penerbangan ini akan menunjukkan bahawa mereka bangkit daripada kejatuhan dan bersedia untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here