Sudah bertahun-tahun Malaysia menjadi ‘pengimport’ asap percuma daripada Indonesia. Saban tahun juga kerajaan Indonesia memberi jaminan masalah yang menghantui negara-negara jiran ini akan diatasi.

Namun sejak tahun 1997, masalah jerebu yang disebabkan oleh pembakaran terbuka tanah pertanian terutama di Kalimantan dan Sumatera tetap berterusan. Sejak 5 September lalu, jerebu kembali melanda beberapa negeri di Malaysia dan Sarawak antara negeri yang terjejas sehingga mengakibatkan ratusan sekolah di negeri tersebut ditutup.

Sarawak antara negeri yang terkesan dengan jerebu yang disebabkan pembakaran terbuka di Kalimantan dan Sumatera

Masalah jerebu di bahagian semenanjung Malaysia juga semakin serius apabila data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan 11 lokasi di beberapa negeri mencatatkan skala bacaan IPU tidak sihat.

Pembakaran hutan dan kawasan pertanian secara terbuka di Kalimantan dan Sumatera yang menjadi kaedah perladangan tradisi di negara tersebut berlarutan sehingga kini. Maka, masalah jerebu rentas sempadan ini tidak akan berakhir selagi mana kerajaan Indonesia masih mengekalkan sistem pengurusan kebakaran tersebut.

Oleh itu, kerajaan Indonesia seharusnya melarang pembakaran seperti itu dan mengkaji semula sistem pengurusan kebakaran republik tersebut sebagai salah satu usaha mengatasi isu jerebu rentas sempadan ini.

Boleh dikatakan bahawa Indonesia bersikap acuh tidak acuh untuk menangani isu jerebu ini apabila republik tersebut hanya membuat pengesahan Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN pada tahun 2014 iaitu 12 tahun selepas perjanjian dibuat.

Lima negara ASEAN ikrar tingkat langkah pencegahan jerebu rentas sempadan

Namun begitu, berdasarkan tragedi jerebu yang melanda ASEAN secara terus menerus selama hampir 2 dekad ini, tidak dapat dipastikan bahawa perjanjian tersebut berkesan dalam menangani krisis jerebu ini.

Fenomena jerebu ketika ini bukan lagi sekadar masalah negara ASEAN sebaliknya boleh dikatakan menjadi krisis sejagat kerana ia menjejaskan kehidupan manusia, flora dan fauna. Berterusan menuding jari kepada Indonesia juga tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Justeru itu, negara-negara ASEAN perlu menawarkan bantuan kepada Indonesia agar dapat mengatasi masalah kebakaran hutan negara tersebut dengan kadar segera sebelum jerebu semakin bertambah kronik. Manakala Indonesia pula perlu mengenakan tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang bertanggungjawab terhadap pembakaran secara terbuka ini.

Indonesia perlu menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan isu ini yang telah berlarutan selama dua dekad. Kemelut jerebu ini hanya memperlihatkan sisi kelemahan pengurusan kerajaan Indonesia dan seharusnya sebagai sebuah negara yang menjadi punca masalah jerebu ini, mereka perlu lebih serius mencari jalan penyelesaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here