Kemiskinan sering kali dikaitkan dengan kehidupan masyarakat desa yang agak terpinggir dari arus pemodenan. Hakikatnya, tahukan kita bahawa segelintir daripada masyarakat bandar juga tergolong dalam golongan miskin atau lebih dikenali dengan miskin bandar. Kemiskinan bandar merupakan golongan yang tidak berkemampuan dalam memenuhi keperluan hidup di bandar yang lebih maju dengan taraf hidup yang lebih tinggi.

Pembangunan sentiasa menjadi indikator kepada kemajuan yang dicapai bagi sesebuah negara. Di Malaysia, kewujudan bangunan akan memberi kesan positif di mana pertumbuhan ekonomi akan semakin rancak sekaligus menarik minat lebih ramai pelabur asing ke negara ini. namun, di sebalik kepesatan yang berlaku di bandar, terdapat kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan.

Berdasarkan statistik, kadar kemiskinan bandar menurun kepada 0.4 peratus daripada 0.6 peratus namun statistik ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur sebenar kerana realitinya pendapatan kasar golongan bandar masih di bawah RM5000 dan menjadikan mereka sebagai golongan miskin bandar. Maka, tidak hairanlah jika kita lihat semakin ramai rakyat mengeluh dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun kadar kemiskinan semakin menurun.

Kawasan perumahan setinggan di tengah bandar jadi tumpuan golongan miskin bandar

Sebagaimana yang kita tahu, kemiskinan bandar terjadi kerana peningkatan kos sara hidup yang terlalu tinggi namun sebagai penduduk bandar, kita juga perlu berusaha mempersiapkan diri dalam menjalani kehidupan di bandar. Antaranya ialah melengkapkan diri dengan kelulusan dan kemahiran yang tinggi supaya mendapat pekerjaan yang baik sekaligus pendapatan yang tinggi. Hal ini kerana taraf pendidikan pada masa kini amat dipandang berat dalam masyarakat.

Selain itu, bagi golongan yang tidak mempunyai taraf pendidikan formal yang baik juga boleh mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu. Pada masa kini terdapat banyak institusi yang diwujudkan dengan tujuan melahirkan belia yang berkemahiran dalam pelbagai bidang teknikal bagi melayakkan mereka berkhidmat dalam sektor perdagangan, perusahaan dan perindustrian.

Masalah ketidakstabilan ekonomi dunia secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi Malaysia. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta peningkatan kos sara hidup yang dirasai rakyat terutamanya di bandar. Oleh itu, sekiranya langkah proaktif tidak di ambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga kota, isu kemiskinan yang dihadapi oleh penduduk bandar akan terus berlaku saban tahun.

Fenomena miskin bandar perlu di tangani secara serius

Sehubungan itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu golongan ini bagi meneruskan kelangsungan hidup di bandar. Sebagai contoh, memperbanyakkan lagi projek-projek penyediaan rumah-rumah kos rendah. Ini kerana masalah tempat kediaman di bandar adalah satu permasalahan yang sering dihadapi penduduk bandar. Kekurangan rumah kos rendah di bandar akan menyebabkan golongan bandar yang tidak berkemampuan terpaksa merempat dan jika ia berterusan adalah tidak mustahil kewujudan kawasan setinggan di bandar akan bertambah.

Bantuan oleh kerajaan bagi membantu golongan ini seperti BSH, RM100 untuk golongan bujang dan pelajar sedikit sebanyak telah meringankan beban mereka bagi menanggung perbelanjaan seharian. Dasar-dasar seperti ini perlu ditambah baik dari masa ke semasa kerana peningkatan kos sara hidup berlaku dengan cepat dan secara mendadak. Penyediaan tapak berniaga di kawasan perumahan kos rendah juga di lihat satu inisiatif yang perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib. Hal ini kerana kebanyakan mereka lebih cenderung membuka gerai makanan bagi menampung perbelanjaan seharian.

Justeru itu, kerajaan perlu tampil dengan dasar yang lebih proaktif dalam menyelesaikan isu pembasmian kemiskinan bandar ini. Kerajaan juga tidak boleh bergantung kepada peratusan semata-mata kerana jumlah penduduk yang berhijrah ke bandar setiap tahun semakin meningkat saban tahun serta jumlah kemiskinan juga akan meningkat. Secara keseluruhannya, kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang perlu di pandang serius dan diselesaikan segera dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here