Isu migran bukan lagi perkara baru di negara kita, kebanjiran migran dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain telah menjadi senario biasa kepada masyarakat hari ini. Tujuan kumpulan migran ini datang ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki bagi menyara kos hidup keluarga mereka. Kedatangan migran ke negara Malaysia telah mencetuskan kebimbangan kepada penduduk di negara ini. Keresahan ini berlaku kerana mereka boleh memberi kesan yang negatif kepada penduduk di Malaysia sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Pertambahan bilangan migran yang datang ke Malaysia adalah disebabkan kemakmuran negara Malaysia yang bebas daripada rusuhan kaum dan peperangan berbanding negara asing yang selalu berlakunya persengketaan. Hal ini berbeza pula di Malaysia yang mengamalkan semangat perpaduan antara kaum. Walaupun terdapat pelbagai bangsa dan agama di Malaysia tetapi tiada sebarang konflik yang berlaku. Rakyat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan aman sejahtera dan faktor ini menarik minat ramai migran untuk datang ke Malaysia. Oleh itu, migran memilih untuk berhijrah ke negara Malaysia agar keselamatan mereka lebih terjamin.

Kebanjiran migran di Malaysia kini dilihat semakin serius dan kritikal

Di samping itu juga, Malaysia merupakan sebuah negara yang ekonominya sangat pesat. Banyak projek pembangunan mega yang telah dibangunkan dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju. Projek pembangunan mega yang diwujudkan merangkumi sektor perumahan, perkilangan, perindustrian dan pertanian. Sektor-sektor ini telah menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya. Keengganan rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut telah memberi peluang kepada migran untuk datang ke Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan tersebut. Hal ini demikian kerana peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara mereka sangat terhad dan gaji yang ditawarkan juga amat rendah. Kos buruh yang murah di kalangan migran juga menarik perhatian kontraktor untuk mendapatkan khidmat migran dalam industri pembinaan menyebabkan bilangan migran meningkat secara mendadak.

Kedudukan ekonomi Malaysia yang lebih baik berbanding negara-negara dunia ketiga terutamanya nilai mata wang Malaysia yang lebih tinggi mendorong migran asing berhijrah ke Malaysia. Pendapatan yang mereka peroleh dalam Ringgit Malaysia lebih menguntungkan apabila ditukarkan dengan Bath Thailand, Rupiah Indonesia serta Peso Filipina menyebabkan mereka memperolehi keuntungan pendapatan lebih dua kali ganda hasil pertukaran mata wang tersebut. Keadaan ini menyebabkan ramai migran berminat dan akan mencari jalan untuk masuk ke negara Malaysia dalam apa jua cara. Nilai mata wang yang kukuh berbanding dengan negara jiran kini menjadikan Malaysia sasaran kedatangan beramai-ramai seperti migran terutamanya dari Indonesia dan Filipina. Oleh itu, migran akan menjadikan Malaysia lubuk rezeki mereka.

Faktor bentuk muka bumi Malaysia yang dikelilingi oleh pulau dan pantai yang panjang dan luas turut memudahkan migran menyusup masuk ke negara ini secara haram. Faktor ini menjadikan sempadan negara luas dan sukar untuk dipantau secara berkesan. Kawalan yang kurang pula akan memudahkan migran masuk sama ada dengan usaha sendiri ataupun melalui ejen haram. Migran yang datang akan menggunakan jalan laut dengan cara yang mudah. Migran akan menggunakan kapal kecil atau perahu untuk menyeberangi perairan negara. Struktur geografi yang strategik akan dijadikan tempat persembunyian golongan migran sebelum keluar ke kota menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengawal kemasukan migran.

Oleh itu, bagi menangani isu migran ini, pihak berkuasa sewajarnya meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu bagi mengekang kemasukan migran secara haram. Pihak-pihak tersebut perlu lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan migran. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan penyeludupan pendatang asing tanpa izin lalu mengurangkan jumlah migran di negara Malaysia.

Operasi menggempur migran yang melibatkan pihak polis marin, imigresen, tentera laut dan polis

Langkah seterusnya ialah pihak polis haruslah menguatkuasa undang-undang. Pihak berkuasa haruslah menghukum dan mendenda firma-firma yang mengupah pekerja asing tanpa izin seperti menghukum penjara atau mengenakan denda yang tinggi serta menggantungkan lesen perniagaan mereka. Selain itu, pendatang asing tanpa izin yang telah ditahan tetapi tidak boleh dihukum dan dikenakan sebarang tindakan undang-undang sebaliknya harus dihantar balik dan disenaraihitamkan nama mereka yang ditangkap agar mereka tidak boleh memasuki negara ini.

Justeru itu, kerajaan seharusnya mengambil serius perkara ini dan mengawal kemasukan pendatang tanpa izin agar ianya tidak mendatangkan masalah kepada negara. Sekiranya langkah-langkah drastik tidak diambil dengan secepat mungkin, masalah-masalah ini akan menimbulkan implikasi. Bak kata pepatah Melayu, mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here