Sumpah laknat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam menafikan tuduhan yang dibuat oleh bekas pegawai polis Azilah Hadri bahawa beliau telah mengarahkan pembunuhan Altantuya Shariibuu adalah fitnah semata-mata telah diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru Jumaat lepas.

Namun apa yang menjadi persoalan mengapa masjid dijadikan sebagai pilihan untuk melakukan sumpah laknat? Malah bekas Perdana Menteri itu juga telah bersedia untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan terlibat dalam skandal 1MDB.

Sultan Nazrin Shah pernah menegur agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik

Masjid adalah tempat untuk menyebarkan dakwah dan berbincang mengenai permasalahan ummah. Melakukan sumpah laknat di dalam masjid hanya untuk kepentingan politik dan peribadi seolah-olah telah menyalahgunakan institusi itu sendiri. Pertengahan tahun ini, Sultan Nazrin Shah pernah menegur pemimpin daripada setiap parti politik agar tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik.

Sebelum ini seorang ahli politik DAP pernah mengundang murka Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas beliau memasuki masjid bagi tujuan politik. Masjid yang merupakan tempat ibadah tidak sesuai dicemari dengan agenda-agenda politik. Kebanyakan jemaah masjid mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai parti politik pilihan mereka.

Gambar dari akaun Facebook Pang Hok Liong yang menunjukkan dirinya berucap di barisan saf depan ruang solat utama di Masjid Tenang Stesen

Namun masjid menjadi tempat jemaah yang bersatu. Maka perbincangan mengenai politik samada untuk berkempen, berceramah mahupun melakukan sumpah laknat adalah tidak sesuai. Apa yang lebih membimbangkan jika berlakunya pertelingkahan di dalam masjid akibat daripada perbezaan fahaman parti.

Masjid adalah tempat untuk berbincang, bermesyuarat dan menyelesaikan setiap permasalahan ummah. Setiap perbincangan  tidak wajar dikaitkan dengan agenda-agenda politik. Maka jika ada mana-mana ahli parti politik mahu berkempen atau melakukan sebarang sumpah laknat, maka adalah wajar jika ianya dilaksanakan di dewan atau tempat-tempat yang lebih bersesuaian.

Nilai eksklusif kesucian masjid sebagai tempat ibadah umat Islam tidak wajar dicemari dengan politik-politik kotor pemimpin Malaysia. Sewajarnya umat Islam menyantuni masjid dengan aktiviti-aktiviti ilmu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here