‘Bersih’ satu pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai pemantau pilihan raya. NGO ini penuh dengan kontroversi bermula daripada penganjuran perhimpunan di Dataran Merdeka pada 10 Oktober 2007 seterusnya rentetan beberapa lagi himpunan sehingga 2015.

NGO yang terkenal dengan tema warna kuning ini mula menganjurkan kempen Jom Pantau PRU 13, namun telah diberi amaran awal oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menganggu urusan PRU-13. Seterusnya pada PRU-14, Bersih 2.0 yang dipengerusikan oleh Maria Chin Abdullah terus melancarkan kempen ‘Pemantau’ bagi pemantauan pilihan raya pada 9 Mei 2018 itu.

Selepas kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan, Bersih terus mengemukakan memorandum kepada kerajaan pada Mei 2018. Memorandum tersebut menggariskan 19 cadangan reformasi proses pilihan raya serta lima cadangan reformasi proses Parlimen.

Penyerahan memorandum reformasi institusi Bersih 2.0 kepada wakil Majlis Penasihat Kerajaan

Intipati utama reformasi pilihan raya yang dibawa oleh Bersih dengan menuntut Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah untuk meletakkan jawatan berjaya dilaksanakan apabila SPR mengeluarkan kenyataan bahawa perkhidmatan Pengerusi SPR akan dipendekkan sehingga 1 Julai 2018.

Gesaan juga dilakukan kepada Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan lima pesuruhjaya badan pilihan raya itu. Keenam-enam ahli SPR ini juga telah dilepaskan jawatan mereka pada 1 Januari 2019.

Seterusnya satu tribunal ditubuhkan oleh Peguam Negara pada Januari 2019. Penubuhan tribunal ini selaras dengan memorandum yang mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk mengkaji semua dakwaan salah laku sepanjang PRU14.

Namun penubuhan tribunal ini disifatkan sebagai ‘memalukan’, kerana penubuhannya adalah selepas perkhidmatan keenam-enam ahli SPR itu ditamatkan. Sedangkan bidang kuasa tribunal adalah untuk menyiasat salah laku dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh menyingkirkan ahli-ahli SPR berkenaan.

Pemerhati Bersih yang bertindak sebagai pemantau ini buat pertama kalinya dibenarkan untuk memasuki pusat mengundi bagi PRK Sg Kandis. Mengikut laporan di media, Pemantau memainkan peranan dengan baik apabila tidak menyebelahi mana-mana pihak samada pembangkang atau kerajaan dengan  mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional melanggar beberapa peraturan pilihan raya sepanjang kempen dan mahu SPR mengambil tindakan.

Spr membenarkan 38 Pemantau Bersih di PRK Sg Kandis

Semasa kempen PRK Sg Kandis, Kerajaan Selangor bercadang untuk menganjurkan festival durian percuma, namun ianya telah dibatalkan selepas  diberi amaran oleh badan pemantau pilihan raya, Bersih.

Keberkesanan peranan Bersih sebagai pemantau pilihan raya masih terlalu awal untuk disimpulkan. Tetapi pada masa ini, Bersih memainkan peranan dengan sangat baik kerana tidak bersikap berat sebelah. Sebagai pemantau, wakil mereka seharusnya tidak boleh mewakili mana-mana parti bagi mengelakkan unsur ‘bias’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here