Akta Anti Berita Tidak Benar mula berkuatkuasa pada April 2018 tetapi telah dimansuhkan pada 17 Ogos 2018, tiga bulan selepas negara berubah tampuk pimpinan. Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Berita Tidak Benar pada 2 April 2018, sebulan sebelum menjelangnya PRU-14.

Memang satu keputusan yang agak terburu-buru pernah diputuskan oleh kerajaan terdahulu dengan jawapan diberikan oleh seorang Timbalan Menteri iaitu “Kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita yang cuba menimbulkan kembali isu 1MDB. Kita percaya ada usaha beberapa pihak yang punyai agenda politik untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri”.

Melalui pernyataan di atas, adakah itu yang dinamakan sebagai kebebasan media di Malaysia? Pada April 2018, menurut Indeks Kebebasan Akhbar Dunia, Malaysia berada di kedudukan 145 daripada 180 negara. Apa yang pasti, satu kedudukan yang tidak boleh dibanggakan. Indeks ini disediakan oleh satu badan bukan kerajaan, Reporters Without Borders (RWB) yang menumpukan aktivitinya dalam bidang kebebasan media.

Kedudukan Malaysia yang dikeluarkan oleh Indeks Akhbar Dunia

Menurut portal World Of Buzz media di Malaysia sering diganggu oleh pihak berkuasa setiap kali mengeluarkan pendapat atau komen yang tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu. Misalnya, portal Sarawak Report dan The Edge tidak boleh diakses oleh orang awam kerana menyiarkan ulasannya mengenai syarikat 1MDB.

Malaysia juga mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan pengamal media iaitu Akta Rahsia Rasmi dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Kedua-dua akta ini tidak dapat memberikan kebebasan mutlak kepada mana-mana pengamal media.

Tetapi, ada satu perkara yang mahu dibicarakan. Apakah kedudukan indeks yang dikeluarkan oleh RWB itu mengambil kira faktor kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia serta peruntukkan Perlembagaan negara ini yang menyatakan kebebasan akhbar bukanlah sesuatu yang muktamad.

Utusan Malaysia dan Berita Harian khususnya Kumpulan Utusan dan Media Prima secara mutlaknya dimiliki oleh UMNO iaitu parti politik yang pernah mentadbir negara dahulu. Manakala RTM pula adalah hak milik kerajaan secara khusus. Umum mengetahui, bahawa penulisan berita di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian kebanyakkannya berpaksikan pada politikus-politikus pemilik mutlak ahbar itu.

Tetapi pembangkang di Malaysia juga boleh menulis dan mencerminkan aspirasi politik mereka di dalam akhbar parti masing-masing seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket. Akhbar-akhbar ini masih lagi menguasai carta walaupun terdapat sekatan daripada pihak kerajaan terdahulu bagi menjaga imej pentadbiran.

Pernahkah akhbar partisan milik pembangkang ini menyediakan satu ruangan kolum mengenai pihak kerajaan tanpa menghentamnya? Perkara yang sama berlaku pada akhbar perdana (Utusan Malaysia dan Berita Harian), cuma bezanya akhbar perdana lebih melaporkan hak suara majoriti walaupun ianya semakin kecil dan tidak memihak kepada parti pemerintah.

Datuk Zaini Hassan sendiri mahu Utusan Malaysia menukar langkah mereka dengan mengambil sikap tidak berkecuali. Bermakna, Utusan perlu bersikap terbuka dan berani mengkritik pemimpin terdahulu, yang menjadi tuan punya akhbar, malah kerajaan sekarang juga perlu ditegur jika ada kepincangan.

Ada satu kenyataan yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Utusan Melayu lawan Datuk Seri Adnan Yaakob (2016). “Rakyat ada hak membincangkan dan memperkatakan tentang tindak tanduk kerajaan dan pegawai kerajaan melaksanakan tugas awam mereka, tanpa takut atau khuatir akan diheret ke mahkamah disebabkan pernyataan pendapat mereka”.

Kes Utusan Melayu melawan Datuk Seri Adnan Yaakob

Istilah ‘rakyat’ pastinya meliputi pengamal media. Tetapi, pengamal media juga perlu tahu bahawa tidak ada negara yang bebas sepenuhnya dan tidak ada kebebasan yang mutlak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here