Boleh dikatakan hampir keseluruhan penduduk di bumi ini mempunyai tidak kurang daripada tiga laman media sosial khususnya golongan belia. Tidak keterlaluan jika dikatakan media sosial sudah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup manusia. Namun, apakah sebenarnya tujuan asal media sosial diwujudkan?

Media sosial adalah sejenis media yang dibangunkan menerusi aplikasi internet. Tujuan asal media sosial digunakan bagi berhubung terus secara talian dengan membolehkan para pengguna untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual serta rangkaian sosial dan wiki merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Kewujudan media sosial pada hari ini lebih terarah kepada aktiviti-aktiviti negatif

Pada hari ini, pengaruh media sosial dilihat lebih menguasai hidup seseorang manusia. Manakan tidak, dengan satu sebaran sahaja, ia akan mengawal hidup seseorang sama ada dari sudut positif mahupun negatif. Dengan sedikit sebaran mengenai maklumat sama ada sahih atau tidak, ia sudah cukup untuk mempengaruhi masyarakat tentang berita yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengawal minda, emosi serta pemahaman mereka mengenai sesuatu perkara. Sebagai contoh, berita mengenai kerajaan pada hari ini yang kebanyakkannya bersifat negatif dan mengkritik cara kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tidak ketinggalan, pengaruh media sosial ini juga turut menimbulkan ketegangan bagi sesebuah kerajaan mahupun negara sebagaimana yang terjadi di negara-negara Arab menerusi Revolusi Arab Spring. Ini menunjukkan bahawa pengaruh media sosial bukan sahaja boleh menjatuhkan seseorang individu, malah ia juga mendatangkan kemudaratan kepada sesebuah negara.

Mengapa penggunaan medial sosial untuk menjatuhkan seseorang sangat mudah pada hari ini? Persoalan yang cukup mudah. Berbekalkan sekelumit dendam, secubit kecanggihan teknologi untuk megubah persepsi masyarakat dan segenggam sebaran, maka terhasillah satu ‘produk’ yang cukup untuk menimbulkan amarah dan kebencian masyarakat kepada individu tersebut. Boleh dikatakan sebahagian besar rakyat di negara ini akan menerima berita palsu yang disebarkan secara ‘bulat-bulat’ tanpa menyelidikinya terlebih dahulu. Jadi, tidak hairanlah di Malaysia ini terdapat banyak kes yang melibatkan penyalahgunaan media sosial.

Jika dilihat, sudah acap kali langkah-langkah keselamatan telah dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam membendung penyebaran maklumat palsu di kalangan warga laman sosial. Ini termasuklah merangka akta-akta seperti Akta Komunikasi Dan Multimedia (Pindaan) 2004 [Akta A1220] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dengan tujuan untuk membendung kegiatan jenayah yang melibatkan media sosial. Namun, masih terdapat lagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan kebencian di kalangan masyarakat negara ini.

Pemwartaan semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 harus dikaji semula oleh kerajaan dalam membendung aktiviti media sosial haram

Dalam perkara ini, kerajaan dan pihak berwajib seperti KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk mengambil langkah yang drastik bagi mengekang gejala penyebaran berita palsu di kalangan rakyat Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya KKM mewartakan kembali Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sebagaimana yang digubal sebelum ini tetapi dengan input yang lebih ketat. Ini bertujuan untuk mengawal segala isi kandungan yang disebarkan melalui laman media sosial dan seterusnya menimbulkan ketegangan di dalam negara.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlulah menjalankan pemantauan ke atas akaun-akaun media sosial yang disenaraihitamkan oleh kerajaan agar tidak berlaku penyebaran berita palsu yang dengan sengaja ingin menimbulkan kemarahan rakyat dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan dan juga individu tertentu.

Ironinya, media sosial bukanlah platform sinikal untuk kegunaan masyarakat di negara ini. Ia seharusnya menjadi alat untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan menjadi ‘jambatan’ penghubung silaturrahim sesama manusia. Rakyat di negara ini seharusnya lebih bijak dalam menyebarkan sesuatu maklumat yang disalurkan menerusi media sosial dengan menyelidiknya terlebih dahulu agar tidak menimbulkan kekecohan di dalam negara. Tak pasti, jangan kongsi!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here