Pengunaan media sosial bukan sahaja memberi peluang kepada pengguna untuk berkomunikasi dengan dunia luar, bahkan setiap perkongsian maklumat boleh diperolehi hanya dihujung jari tanpa sempadan.

Perkongsian tanpa sempadan ini membuka peluang kepada pengguna menjadi pencipta kandungan. Sesiapa sahaja berpeluang untuk memuat naik kandungan status yang panjang lebar, menaip seakan-akan wartawan seterusnya merakam dan menyebarkan video sehingga tular.

Rata-rata mengetahui bahawa pengguna media sosial terdiri daripada pelbagai golongan. Namun golongan muda lebih banyak mendominasi Facebook, Twitter, Instagram, Wechat, TikTok dan Blog.

Maka, adalah suatu kewajaran kepada pengguna-pengguna media sosial untuk menyampaikan setiap maklumat yang positif agar setiap pengguna, terutamanya golongan muda ini tidak terpengaruh dengan budaya tidak sihat melalui penggunaan media sosial.

Kata-kata mantan PM Malaysia mengenai penyebaran maklumat positif di media sosial

Secara umumnya, penggunaan media sosial yang bebas tanpa kawalan dan mudah diakses memberi kelebihan kepada pengguna untuk melayari laman-laman sosial pilihan mereka.

Namun semakin ramai pengguna, semakin besar cabaran yang perlu dihadapi. Maklumat yang disampaikan akan semakin banyak dan sukar ditapis. Inilah cabaran kepada pengguna samada untuk menerima maklumat yang benar atau palsu.

Maklumat yang disampaikan perlulah dibuat secara sihat, bermakna setiap input yang mahu disampaikan tidak dimanipulasi dan memberikan kesan negatif kepada pengguna lain. Penyebaran maklumat palsu mampu menggugat keselamatan negara ke tahap sehingga boleh mencetuskan peperangan seterusnya menghancurkan sesebuah negara.

Negara Iraq hancur gara-gara berita palsu, kononnya negara itu menyimpan senjata api sehingga mencetuskan peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada 2003. Ketika itu, media masih belum lagi mengalami zaman revolusi media sosial, namun penyebaran berita palsu itu mudah tersebar sehinggakan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, turut bersama AS dalam Perang Iraq.

Perang Iraq 2003 yang berpunca daripada penyebaran berita palsu

Di Malaysia, beberapa isu nasional terutamanya ketika pilihan raya sering dimainkan oleh kedua-dua belah pihak samada pembangkang atau kerajaan. Pada PRU-13 ada dakwaan mengenai 40,000 rakyat Bangladesh telah keluar mengundi. Namun sehingga kini tiada satu laporan aduan dibuat kepada pihak berkuasa. Jelas itu maklumat palsu yang diada-adakan.

Pada Mac 2018, seorang pengurus restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya di dalam blog menggunakan aplikasi blogspot dan WordPress. Tindakan ini jelas menyalahi undang-undang dan menjatuhkan maruah orang lain.

Pengguna media sosial perlu mempunyai kesedaran, tanggungjawab dan etika di dalam menyampaikan setiap maklumat. Apa sahaja perincian yang ditulis di laman media sosial, pengguna perlu bersedia bahawa ianya mungkin akan dikongsi atau disalin semula oleh pengguna lain. Maka, adalah menjadi tanggungjawab penulis untuk bertanggungjawab dengan setiap penulisan mereka.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai kempen untuk memberi kesedaran kepada pengguna mengenai kesan tular di media sosial. Pada Februari 2017, Cybersecurity Malaysia dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah memperkenalkan kempen #myviralvow.

Kempen aku janji tular ini dibangunkan khusus bagi memupuk kesedaran orang ramai terutama pengguna internet mengenai kepentingan, tanggungjawab dan etika dalam berkongsi sesuatu maklumat di media sosial.

Sebagai pengguna media sosial, anda harus memikirkan kesan kepada pengguna lain selepas penulisan, video atau gambar daripada akaun milik anda disebarkan. Oleh itu, berfikir dahulu sebelum tular. Media sosial bukan tempat penyebaran maklumat palsu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here