Perkembangan media sosial ketika ini sentiasa menjadi perhatian pengguna khususnya masyarakat kita. Pada masa kini, media sosial juga merupakan platform untuk menyampaikan maklumat dan informasi terkini kepada rakyat. Fenomena kuasa viral telah memberikan banyak kesan positif dan negatif terhadap sesuatu isu di media sosial. Namun, pengaruh media sosial yang kuat juga telah mewujudkan satu trend di kalangan pengguna iaitu perang mulut dan perang persepsi.

Keterujaan sesetengah pengguna media sosial yang menganggap hak akaun peribadi media sosial memberi mereka lesen untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati tanpa memikirkan kesannya. Selain itu, terdapat juga segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan, memberi pendapat secara kasar dan tidak kurangnya ada yang mengaibkan individu lain demi mendapat perhatian di media sosial.

Sikap tidak bertanggungjawab pengguna media sosial beri kesan kepada perpaduan negara

Keterujaan masyarakat kita menggunakan media sosial dilihat semakin agresif apabila terdapat segelintir daripada mereka menjadikan media sosial sebagai tempat menyebarkan berita palsu dan meraih perhatian sehingga sanggup membuat akaun palsu semata-mata hanya untuk melemparkan kritikan, mencemuh atau sekadar untuk dijadikan topik ‘membawang’. Individu seperti ini akan menggunakan apa sahaja topik dan isu yang berpotensi untuk tular di media sosial. Sikap tidak bertanggungjawab dan inginkan perhatian ini telah banyak mendatangkan kesan negatif kepada negara khususnya kepada mangsa.

Kebiasaannya, individu seperti ini tidak mempunyai sensitiviti dalam mencetuskan isu di media sosial seperti menyentuh isu keagamaan, mencemuh pemimpin negara malah golongan artis juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa ‘cyber bully”. Selain daripada menjejaskan perpaduan negara, ia juga memberi kesan kepada mangsa secara mental sekaligus mampu memberi kesan kepada kesihatan individu terbabit.

Fenomena perang mulut di media sosial semakin berleluasa

Malaysia dikenali sebagai salah sebuah negara timur yang berbudi bahasa dan santun namun berdasarkan sikap masyarakat kita yang terlalu obses dengan media sosial sehingga menjadikan ia tempat perang mulut, ia langsung tidak menunjukkan prinsip hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia. Hak kebebasan bersuara tidak seharusnya di salah guna oleh mana-mana pihak kerana selain daripada memberi kesan moral kepada pelaku, ia juga boleh menjejaskan kemakmuran negara. Merujuk kepada sikap pengguna media sosial ketika ini yang menjadikan media sosial sebagai medium meluahkan perasaan, mencemuh dan membuat komen secara kasar, ia langsung tidak menunjukkan keperibadian seorang rakyat Malaysia yang berbudi bahasa.

Melihat kepada fenomena negatif ini, ia perlu dipandang serius dan beberapa langkah proaktif perlu diambil supaya perkara ini tidak berterusan sehingga ke tahap di luar kawalan. Memandangkan generasi sekarang lebih terdedah kepada teknologi digital, penerapan sikap bertanggungjawab, saling menghormati sesama manusia dan menjaga sensitiviti antara kaum melalui pendidikan adalah penting supaya mereka lebih bertanggungjawab dan peka terhadap penggunaan media sosial pada masa akan datang.

Sehubungan itu, kebebasan bersuara perlu mempunyai sempadan dan had tertentu agar tindakan itu tidak mengundang perasaan benci antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang agama dan bangsa.  Berdepan dengan cabaran globalisasi yang mencabar, sikap bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial perlu dititikberatkan secara serius bagi membendung gejala ini daripada menjadi faktor keruntuhan sesebuah negara. Demokrasi yang diamalkan Malaysia dengan memberikan hak kebebasan bersuara tidak seharusnya menjadi ancaman kepada negara pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here