Isu perkauman adalah salah satu perihal yang sangat sensitif dan tidak seharusnya disentuh oleh mana-mana pihak dengan tujuan tertentu. Walau bagaimanapun, melihat kepada situasi negara kita yang semakin mencabar, saban hari ada sahaja isu perkauman yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak terutamanya di media sosial. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah terdapat segelintir pihak yang cuba menghangatkan sesuatu isu itu dengan mengaitkannya dengan masalah kaum.

Sementara itu, fenomena memuatnaik status dan meninggalkan komen kasar berbaur perkauman di media sosial juga dilihat menjadi trend di kalangan masyarakat kita. Entah di mana silapnya sehingga terdapat segelintir individu menganggap media sosial adalah medium paling sesuai untuk meluahkan perasaan dan pendapat.

Di samping itu, media sosial juga merupakan platform terbaik untuk pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan provokasi mengenai isu perkauman. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sikap sesetengah individu yang tidak mempunyai sensitiviti terhadap isu perkauman ini juga mendorong mereka lebih gemar menggunakan media sosial untuk menghasut rakyat.

Keharmonian kaum perlu dipelihara untuk generasi akan datang

Sehubungan dengan itu, pelbagai amaran dan langkah yang telah diambil oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bagi menangani isu ini. Ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ segala amaran dan kempen yang dijalankan seakan tidak membuahkan hasil kerana masih ramai individu seperti ini terus berselindung di sebalik media sosial bagi menimbulkan isu perkauman.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador telah menegaskan bahawa tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, agama dan bangsa. Hal ini kerana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Inisiatif pihak SKMM mewujudkan talian khas membuat aduan mengenai kenyataan sensitif melalui whatsapp juga wajar diberikan kredit. Ini membuktikan bahawa pihak SKMM dan polis sentiasa mencari jalan terbaik bagi membendung permasalahan ini bagi mengelakkan keharmonian negara terjejas.

Namun, tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu pihak SKMM dan polis sahaja kerana bagi mengekalkan keharmonian kaum, usaha sama semua pihak diperlukan. Apa yang terjadi sekarang seharusnya menjadi kayu pengukur kepada kita supaya mengambil langkah ke hadapan dengan menggalakkan generasi muda kita bergaul dengan semua kaum. Ini mungkin menjadi salah satu cara memupuk hubungan akrab di antara kaum pada generasi sekarang.

Media sosial dijadikan medium melakukan provokasi kaum masa kini

Selain itu, ibu bapa dan para guru juga boleh memainkan peranan dengan lebih aktif supaya menerapkan sikap saling memahami dan menghormati antara kaum. Sikap ini boleh dibentuk melalui pendidikan yang berterusan supaya ia dapat diamalkan kelak seterusnya isu ini tidak akan berpanjangan pada masa akan datang.

Apa yang berlaku sekarang mungkin tidak akan dapat dicegah secara keseluruhannya. Namun, kita mungkin masih mampu menyelamatkan dan mengekalkan keharmonian dengan memastikan generasi akan datang tidak mengamalkan sikap ‘racist’ serta lebih bijak dalam menggunakan media sosial bagi menjalani kehidupan yang aman di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here