Media sosial kini menjadi platform utama kepada masyarakat dalam negara ini untuk berhubung dengan orang lain kerana ianya mudah dan boleh digunakan di mana-mana sahaja. Tetapi ada juga sesetengah pihak telah menyalahgunakan kemudahan ini untuk menanam dan menyebarkan kebencian hingga masyarakat menjadi muak dengan media sosial ini kerana lebih banyak perkara negatif berbanding positif.

Apa yang menjadi persoalan adalah kenapa media sosial kini banyak disalah guna kerana dahulunya ia menjadi platform untuk merapatkan hubungan sesama manusia? Masyarakat dalam negara ini melihat media sosial sebagai satu cara untuk mereka bersuara tanpa perlu mendedahkan diri mereka dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu dalam internet.

Penyalahgunaan media sosial boleh menyebabkan ketegangan kaum dan merugikan negara

Malah, mereka beranggapan kebebasan dalam internet boleh membuatkan mereka mudah untuk membuat hasutan atau menyebarkan khabar angin sesuka hati sahaja. Sedangkan mereka tidak tahu perbuatan tersebut boleh memberi kesan kepada negara jika ianya berterusan. Menanam kebencian dalam media sosial boleh menyebabkan pertegangan kaum dalam masyarakat kerana jika ada individu menghina agama atau kaum, ia boleh menimbulkan kemarahan ramai pihak dalam dalam negara ini.

Selain itu, kes tembakan pengganas di dua masjid New Zealand telah menunjukkan betapa bahayanya penyalahgunaan media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka tahu pengguna media sosial semakin ramai dan ia boleh menjadi ‘pentas’ untuk mereka menunjukkan kebencian terhadap kaum serta agama supaya menjadi tontonan ramai. Kebencian mereka ini tidak lagi disembunyi malah sengaja ditunjukkan kepada orang ramai tanpa rasa takut lagi.

Oleh kerana itu, masyarakat negara ini perlu ambil iktibar tentang kejadian yang berlaku di New Zealand itu dan perlu tahu kesan jika perbuatan menanam kebencian ini berterusan dalam media sosial. Masyarakat di Malaysia terutama golongan muda perlu dididik untuk menggunakan media sosial dengan baik dan perlu tahu akibat jika mereka menyalahgunakan kemudahan ini. Undang-undang juga perlu diperkasakan lagi untuk memantau aktiviti dalam media sosial supaya pihak berkuasa dapat mengambil langkah lebih awal jika terdapat apa-apa perkara yang mencurigakan.

Kes keganasan di New Zealand memberi gambaran sebenar elemen kebencian dalam media sosial

Jika kerajaan bertindak untuk mengharamkan media sosial seperti Facebook (FB), Twitter, Instagram, Whatsapp dan lain-lain, ianya tidak akan menyelesaikan masalah kerana ia menyekat kebebasan komunikasi di samping melihat ia langkah yang tidak praktikal. Ini kerana penggunaan media sosial masih lagi membawa kebaikan kepada rakyat kerana ada yang menggunakanya untuk berhubung dan ada juga berniaga menggunakan platform ini.

Langkah pengharaman media sosial seperti di China hanya merugikan rakyat Malaysia kerana negara ini masih ada undang-undang untuk mengawal dan menapis kandungan dalam media sosial. Oleh kerana itu, rakyat Malaysia perlu sedar tentang bahaya sikap tidak bertanggungjawab dengan menanamkan kebencian dalam media sosial. Perbuatan tersebut hanya merugikan negara kerana boleh berlaku perpecahan kaum dan boleh menggugat keselamatan negara.

Justeru, sistem pendidikan negara hari ini perlu dimantapkan lagi terutama dalam aspek pembinaan sahsiah yang perlu merangkumi semangat dan pemikiran generasi hari ini. Ia bertujuan supaya revolusi kebebasan internet hari ini dapat digunakan bagi tujuan murni dan bukan menimbulkan lagi krisis sosial dalam masyarakat serta negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here