Internet kini telah menjadi salah satu komunikasi penting dalam kehidupan manusia di mana ia telah mempercepatkan pertukaran maklumat dan mempermudahkan rangkaian hubungan dalam masyarakat. Kini pengguna internet telah meningkat saban tahun kerana medium penggunaannya juga telah berkembang bukan sahaja menggunakan komputer malah penggunaan telefon pintar.

Penggunaan internet juga makin mudah dan murah berbanding dahulu dengan wujudnya teknologi penghubung WiFi di mana ia mudah diakses oleh peranti masing-masing. Apabila penggunaan internet makin berkembang, wujud satu lagi fenomena internet iaitu media sosial. Media sosial telah menjadi platform baru untuk berkomunikasi dengan lebih pantas melalui blog-blog, wiki, forum dan jaringan sosial seperti Facebook (FB), Twitter, Instagram serta banyak lagi.

Penggunaan internet telah menjadi kepentingan utama dunia kerana menawarkan pelbagai peluang dan perkhidmatan. Penggunaan internet kini bukan sahaja menjadi medium penghubung malah ia digunakan dalam urusan perbankan dan perniagaan. Kebanyakan bank kini mempunyai laman web untuk memudahkan pelanggan membuat sebarang urusan dalam talian seperti permindahan wang, membayar bil dan sebagainya tanpa perlu pergi ke bank. Selain itu, perniagaan dalam talian telah menjadi perniagaan yang bernilai bilion ringgit dengan wujudnya nama-nama besar seperti Alibaba, eBay, Lazada, Shoppee dan banyak lagi.

Internet kini digunakan secara meluas untuk kegunaan pelbagai urusan

Walau bagaimanapun, apabila penggunaan internet makin berkembang banyak ancaman keselamatan boleh terjadi jika tahap pengawasannya oleh kerajaan masih di tahap lemah. Antara yang menjadi kebimbangan adalah kecurian maklumat peribadi, penipuan kad kredit, penyebaran virus (hyperlink atau dokumen), kandungan pornografi dan penyebaran maklumat palsu. Peningkatan ancaman internet kini berada di tahap membimbangkan kerana internet diibaratkan dunia siber yang luas dan tanpa sempadan.

Oleh kerana itu, terdapat beberapa negara luar telah mengawal penggunaan internet terhadap rakyat mereka. Antara nama-nama besar adalah Korea Utara dan China. Kedua-dua negara ini mengenakan sekatan internet yang ketat kepada rakyat mereka dan mengharamkan penggunaan media sosial terkenal seperti FB dan Twitter.

Di Korea Utara hanya 4 peratus rakyat mereka diberikan akses internet dan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan. Segala akses internet akan ditapis dan dipantau ketat oleh server yang dikenali sebagai Kwangmyong. China pula hanya membenarkan penggunaan media sosial dari negara mereka sahaja dan meletakkan Firewall mereka yang dikenali sebagai Great Firewall of China. Tujuan Firewall tersebut adalah untuk menapis apa-apa maklumat, memadamkan kandungan, menghalang akses kepada maklumat pro-China dan menghadkan penyebaran maklumat.

Korea Utara dan China mengenakan sekatan internet yang ketat kepada rakyat mereka

Oleh kerana itu, sukar untuk kerajaan mengawal penggunaan internet melainkan kerajaan mengimplikasikan tindakan yang sama seperti kedua-dua negara pro-komunis tersebut. Antara langkah terbaik adalah menguatkuasakan undang-undang untuk mengawasi apa-apa kesalahan yang termaktub dalam penyalahgunaan internet seperti maklumat palsu, hasutan, kandungan lucah dan sebagainya. Sebarang kesalahan penggunaan internet perlu dikenakan hukuman berat agar ianya penjadi pengajaran kepada orang lain.

Maka kerajaan perlu memastikan undang-undang berkaitan penyalahgunaan internet perlu dikekalkan dan ditambahbaik bagi mengelakkan perkara-perkara tidak baik terjadi di negara ini. Banyak pergolakkan yang terjadi di negara Timur Tengah adalah berpunca daripada hasutan melalui media sosial hingga memorak porandakan negara. Internet kini mempunyai 1001 kebaikan dan keburukan maka kerajaan perlu mengawalnya dari awal bagi mengelakkan ancaman internet yang boleh menghancurkan negara pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here