Di Malaysia, rakyat telah diterapkan dengan penguasaan bahasa Melayu dan disarankan untuk memartabatkan bahasa ibunda negara ini. Akan tetapi, bagaimana pula dengan penguasaan bahasa Inggeris? Bukankah bahasa Inggeris juga sama pentingnya dengan bahasa Melayu? Malah, dunia juga telah mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa.

Justeru itu, Tun Dr. Mahathir mengingatkan warga pendidik agar terus memainkan peranan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang menguasai bahasa Inggeris. Selain itu, beliau turut meminta agar perkara ini tidak dijadikan sebagai isu politik untuk menidakkan penguasaan ilmu hanya kerana kepentingan politik mana-mana pihak. Beliau juga turut menyatakan rakyat Malaysia perlu menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dan berharap warga pendidik akan mengutamakan penguasaan ini kerana ia adalah bahasa ilmu untuk sains dan teknologi.

Warga pendidik diingatkan oleh kerajaan agar memainkan peranan dalam menjadikan generasi muda untuk mahir berbahasa Inggeris

Jika dilihat dari sudut positif, penguasaan bahasa Inggeris amat penting bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia, malah kepada penduduk dunia secara keseluruhannya. Hal ini kerana penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara.

Di samping itu, antara kepentingan lain bahasa Inggeris adalah ia juga merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang sangat penting. Sebagai contoh, kebanyakan sumber rujukan pada hari ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengantar. Sekiranya seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris ingin mencari sumber rujukan, bukankah ia amat menyukarkan mereka? Oleh itu, penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Pada hari ini, kita dapat melihat tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia sedikit demi sedikit sudah mula menampakkan kemajuannya berbanding negara lain. Namun, masih ada ‘lubang-lubang’ yang perlu diperbaiki agar rakyat negara ini dapat menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris dan tidak akan menggunakan “broken English” semasa berkomunikasi.

Antara langkah yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam mendidik rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris dengan memelihara dan mengutamakan Bahasa Melayu terutama bagi generasi muda adalah dengan menyediakan satu program yang wajib diadakan di semua sekolah di seluruh negara iaitu “Program Dwi Bahasa”. Di dalam program ini, aktivi menarik haruslah disediakan dan tidak hanya bergantung terhadap aktiviti bacaan sahaja. Sebagai contoh, aktiviti yang melibatkan muzik dan persembahan. Ini akan lebih menarik minat para pelajar.

Program Oh My English adalah program yang merangsang minda generasi muda untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan lebih mudah

Selain itu, bengkel dwi bahasa juga boleh diadakan dengan kerjasama DBP bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang kepentingan untuk menguasai kedua-dua bahasa. Hal ini sangat penting bagi mendidik rakyat Malaysia untuk menjadi seseorang yang berfikiran terbuka dan tidak berada di takuk lama.

Ironinya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan dunia luar. Walaupun Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, namun Bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Langkah kerajaan dalam melahirkan generasi mahir berbahasa Inggeris ini dilihat sebagai langkah yang tepat dalam mencapai wawasan 2020 di samping menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing setaraf dengan negara-negara maju yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here