Sejak akhir-akhir ini banyak yang telah diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya sudah pasti akan terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang berada di negara ini ibarat Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Apa yang dimaksudkan dengan integriti? Integriti secara umumnya membawa maksud kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan sesebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat dengan isu etika dan nilai-nilai murni pekerja dalam diri seseorang dan sesebuah organisasi.

Namun, kita sedar betapa pentingnya integriti di dalam pekerjaan supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap sesebuah organisasi seperti sektor penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan dan keharmonian negara. Segala dasar dan polisi berkaitan yang dilaksanakan seharusnya diamalkan oleh semua penjawat awam dengan sepenuh hati supaya mereka dapat melakukan sebarang tugas yang diberikan dengan baik dan cekap.

Dalam aspek tadbir urus dan pentadbiran organisasi misalnya, keruntuhan integriti ini akanĀ  menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah. Tidak kira, sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta, pemegang jawatan ataupun pekerja yang tidak memiliki integriti diri yang tinggi akan sentiasa mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi, tanpa memikirkan implikasi terhadap imej organisasi dan negara. Tidak mustahil, ketiadaan integriti bakal meruntuhkan institusi dan mengancam keselamatan negara.

Ketiadaan integriti akan mengakibatkan amalan rasuah terus berleluasa

Ketirisan maklumat organisasi dan aktiviti yang meningkatkan tahap persepsi antarabangsa terhadap kemampuan negara yang tidak mampu membendung amalan korupsi adalah contoh implikasi negatif yang didorong oleh perbuatan warga kerja tidak berintegriti.

Justeru itu, bagi mencapai status negara berintegriti tinggi, berdaya tahan dan mengamalkan nilai murni sejagat, pihak kerajaan telah menubuhkan satu institusi yang diberi nama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI). Satu pelan yang diberi nama Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dirangka oleh institusi tersebut untuk mencapai objektif mereka iaitu untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi.

Selain itu, INTEGRITI juga memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya golongan pekerja yang menjadi nadi kepada pembinaan negara dan mereka perlu memulakan langkah awal seperti yang diharapkan. Sebenarnya peranan pekerja dalam hal ini bukan hanya terhenti di tempat kerja sahaja, malah ia perlu berlarutan sehingga ke institusi lain seperti keluarga dan masyarakat. Justeru itu, pendidikan berkaitan integriti perlulah bermula dari bawah untuk mendidik rakyat agar mematuhi peraturan dan kod etika kerja yang ditetapkan.

Budaya kerja yang beretika akan memberikan imej yang baik terhadap masyarakat

Setiap anggota pekerja perlu memainkan peranan yang padu ke arah pemupukan dan penghayatan tentangĀ  budaya berintegriti dalam pekerjaan. Sama-samalah kita berganding bahu bersama bagi mewujudkan satu gerakan untuk menyemarakkn budaya berintegriti, baik di peringkat nasional, negeri mahupun daerah demi memantapkan lagi profesionalisme dalam kalangan pekerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here