UMNO merupakan parti yang memperjuangkan kepentingan masa depan orang Melayu sepatutnya tidak dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin yang khianat yang menjadikan parti sebagai batu loncatan untuk kepentingan agenda peribadi. Oleh itu sistem demokrasi dalam parti perlu diwujudkan bagi memastikan tiada pemimpin yang boleh bertindak sebagai diktator dalam UMNO.

Amanah kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang besar. Apa lagi untuk memperjuangkan untung nasib orang Melayu yang beragama Islam di negara ini. Namun wujudnya pemimpin politik yang bersikap diktator dalam suasana politik UMNO hari telah menjadikan parti UMNO yang dulunya menjadi parti keramat memperjuangkan bangsa dan agama sudah berpecah dan perpuak-puak kepada dua atau tiga kem. Di sini bukan tujuan untuk membicarakan perbuatan diktator yang dilakukan oleh pemimpin utama UMNO yang sepatutnya menyelamatkan parti dan menyatukan ahli UMNO. Namun, tulisan ini hanya sekadar pandangan seorang manusia biasa, atas niat baik untuk menyedarkan pemimpin utama UMNO bahawa perbuatan diktator tersebut adalah perbuatan yang amat salah dan perlu diperbetulkan dengan segera supaya sokongan orang Melayu kepada UMNO boleh terus dikekalkan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya seburuk-buruknya para penguasa adalah penguasa al-huthamah (diktator).” (HR. Al-Bazzar).

Para pemimpin serta akar umbi UMNO seharusnya bersatu-padu dan memberi tumpuan bagaimana usaha untuk mengekalkan kepercayaan dan sokongan orang Melayu kepada UMNO.  Ahli dan pemimpin UMNO perlu sedar bahawa pihak-pihak musuh memang sentiasa mengintai-ngintai peluang untuk memecahbelahkan anda semua. Oleh itu, setiap kali perbalahan dalam parti tentu akan menggembirakan musuh-musuh yang ingin melihat UMNO terus lemah dan terkubur.

Lihat sahaja pada hari ini, walaupun tidak ada campur tangan pihak luar, perbalahan dalaman dalam menentukan hala tuju parti dan rakyat telah memecahbelahkan parti seolah-olah UMNO tidak dapat dikemudikan dengan baik kerana pemimpin utamanya mempunyai sikap diktator dan pemimpin lain juga mempunyai agenda politik tersendiri. Sepatutnya apa yang wajib didahulukan oleh para pemimpin parti adalah mendahulukan kemaslahatan agama Islam dan orang Melayu. UMNO adalah parti yang tidak pernah berhenti berjuang untuk agama dan bangsa sejak 75 tahun dahulu. Mengapa pemimpin yang memimpin generasi UMNO sekarang bertindak merosakkannya demi ketamakan kuasa dan pangkat?

Presiden UMNO dilihat seorang yang sangat taat akan perintah agama, sentiasa bercakap tentang perjuangan bangsa dan agama malah pernah berjanji untuk memperjuangkan hak bangsa Melayu dan Islam. Sepatutnya inilah masa dan peluang yang patut digunakan untuk mengukuhkan lagi muafakat sesama para pemimpin parti-parti Islam dan Melayu. Bukannya berkhianat dengan membentuk kerjasama dengan pihak yang menentang Islam hanya kerana kedudukan, pangkat dan harta. Itu semua akan mendatangkan penyesalan di hari kiamat.

Hanya ada satu persoalan, mengapa ‘kerosakan’ parti yang dilakukan oleh tangan sendiri, mengapa Tan Sri Shahidan Kassim pula yang menanggung akibatnya hanya kerana beliau cuba memberi komen atau satu pandangan untuk membetulkan semula apa yang tidak betul dengan perjuangan asal UMNO? Apakah hanya kerana dia lantang menegur salah pemimpin maka dia terus dikena tindakan melucutkan jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Perlis? Tidak kah ini satu tindakan pemimpin yang diktator?

Daripada Tamim ad-Dari R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Agama itu adalah nasihat.’ Kami (para sahabat) bertanya, ‘Kepada siapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kepada Allah (dengan mentaatiNya), kitab Allah (dengan menuruti kandunganNya), RasulNya (dengan mengikuti suruhanNya), para pemimpin orang-orang Islam (dengan menegur dan menasihatinya), dan orang awam dalam kalangan mereka (dengan amar makruf, nahi mungkar).” (HR Muslim).

Sampai bila para ahli UMNO nak menanggung beban dan makan hati dengan tingkah laku pucuk pimpinan tertinggi? Kesalahan harus dibetulkan dengan nasihat. Kalau tidak boleh ditegur, apalah gunanya berpersatuan? Apalah gunanya ahli-ahli di dalam persatuan? Hanya berpesatuan sekadar mahu orang ikut telunjuk kita? Itu bukan kepimpinan yang sebenar. Maaf Dato’ Seri Zahid Hamidi, anda GAGAL secara total untuk menyatupadukan ahli-ahli UMNO baik dari segi kesatuan dan agama disebabkan kepentingan diri, pangkat dan kuasa anda serta sekutu-sekutu anda yang masih tidak insaf dengan peristiwa lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here