Pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai  Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac depan telah menjadikan kawasan berkenaan sebagai PRK tumpuan pada kali ini. PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Tarikh-tarikh penting PRK N.24 Semenyih, Selangor

Semenyih adalah kawasan pinggir bandar yang mengalami transformasi fizikal iaitu daripada sebuah kawasan perkampungan dan pekan kecil kepada kawasan petempatan terancang dan bandar yang sedang membangun. Sebagai contoh, jalan raya sedia ada yang menghubungkan mukim Semenyih dengan mukim Kajang seterusnya ke Kuala Lumpur telah dinaik taraf. Jalan raya baharu dikenali sebagai pintasan Kajang-Semenyih yang bersambung terus dengan Lebuh Raya Grand Saga untuk ke Kuala Lumpur juga telah dibina pada awal tahun 2000. Projek-projek akses ini dan beberapa lagi telah memendekkan lagi jarak dan masa perjalanan dari Semenyih ke Kuala Lumpur.

Selain itu, projek pembangunan Semenyih sudah melebihi 30 buah.  Pemaju-pemaju perumahan berkapital tinggi antaranya Metro Kajang Holding, SP Setia, Homecity Group, Kueen Lai Propeties Sdn Bhd dan Homecity Group mula berlumba-lumba membangunkan projek-projek perumahan berskala besar yang dilengkapi dengan kemudahan rumah-rumah kedai dan pusat beli belah.

Parti politik yang bakal bertanding adalah calon daripada BN, PH dan PSM dan sekiranya mereka menang bakal membawa suara rakyat ke tempat yang sepatutnya iaitu dewan undangan negeri atau Parlimen. Penyelesaian berbentuk polisi akan dapat dicapai oleh wakil rakyat yang baru untuk penduduk Semenyih berhadapan dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan dalam beberapa isu berbangkit. Antaranya membawa suara peniaga ke dewan agar satu polisi dapat dibentuk untuk peniaga mempunyai hak mencari rezeki secara aman dan pada masa yang sama, hak-hak sosial masyarakat lain seperti halangan lalu lintas, sampah dan sebagainya terpelihara. Calon-calon ini juga membawa rakyat untuk berhadapan pihak mana pun termasuk bank, instusi kewangan dan apa jua halangan untuk rakyat mendapat hak mereka untuk hidup, untuk mencari nafkah dan sebagainya.

Selamat mengundi kepada semua pengundi PRK Semenyih pada 2 Mac 2019 ini

Kebanyakan penduduk dan peniaga yang merupakan pengundi di Semenyih mahukan wajah baru kepada Semenyih dari segi pengangkutan awam, perniagaan barang basah dan jambatan yang terletak di tengah-tengah pekan itu. Selain itu, mereka mahu pasar yang menjual barang-barang basah di kawasan berkenaan ditambah baik seperti dibina bangunan 2 tingkat agar mereka yang menjaja di tepi jalan ini dapat berniaga di dalam bangunan. Jika dibina bangunan untuk pasar seperti Pasar Taman Tun Dr Ismail, ia akan memudahkan penduduk membeli barang keperluan dengan lebih selesa. Ini bagi mengelakkan penjaja menjual di tepi jalan berhadapan dengan kejadian yang tidak diingini seperti dilanggar kenderaan ataupun disaman berkali-kali.

Justeru itu, setiap parti perlulah meletakkan calon yang berwibawa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal diadakan pada bulan hadapan. Sangat penting bagi setiap parti memilih calon yang betul-betul berwibawa untuk diundi rakyat. Rakyat kini yang terdedah kepada kehidupan universal lebih prihatin terhadap individu yang dicalonkan sebagai wakil rakyat tanpa mengira protokol dan sanggup turun padang bersama rakyat. Kegigihan dan pembabitan calon wakil rakyat dalam masyarakat tanpa mengira musim akan menjadi pilihan utama pengundi. Masyarakat kini lebih tertumpu kepada kewibawaan dan kredibiliti calon wakil rakyat berbanding parti politik yang mereka wakili.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here