Islam sangat cermat dalam menetapkan pemimpin yang akan menjadi teladan kelompok iaitu menyuburkan dan membangunkan kepribadian Muslim. Salah satu contoh yang paling dekat adalah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Keperibadian Baginda merupakan contoh terbaik untuk dijadikan teladan buat para pemimpin di negara ini. Walaupun Baginda dihadapkan dengan pelbagai cubaan dan rintangan semasa memimpin masyarakat Makkah dan Madinah, tetapi Baginda masih meletakkan urusan agama Islam di hadapan.

Daripada Jabir bin Samurah RA: aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Agama Islam ini akan sentiasa mulia (dan agung) sehinggalah kepada dua belas orang Khalifah. Kemudian Baginda mengucapkan perkataan yang aku tidak faham, lalu aku bertanya kepada ayahku tentang ucapan Baginda. Lalu dia berkata: Semuanya (Khalifah itu) adalah daripada Quraysh.” (HR Muslim: 1821)

Perhatikan hadis ini bagaimana Rasulullah mengaitkan kemuliaan Islam dengan kepimpinan Khalifah. Ini adalah satu petunjuk yang sangat jelas bahawa kepimpinan bukan sekadar urusan mentadbir dunia, akan tetapi ia adalah mekanisme untuk memelihara dan mendaulatkan agama. Walaupun di dalam hadis tersebut dinyatakan hingga dua belas khalifah, tetapi para pemimpin di negara ini terutamanya pemimpin Islam, wajib mempertahankan kedaulatan agama Islam di negara ini selaras dengan peruntukan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Setiap ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk semua umat manusia menerimanya. Hal ini membuktikan syariat atau pelaksanaan tuntutan agama Islam semuanya bersesuaian dengan kehidupan manusia seperti mana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi dakwahnya. Maka Islam yang sampai kepada manusia pada hari ini adalah agama sama seperti mana disampaikan oleh Rasulullah SAW. Ia mengandungi ketetapan yang sangat jelas berdasarkan sumber paling berautoriti iaitu al-Quran dan sunah dan kedua-dua sumber ini tidak pernah berubah sama sekali dari dahulu hingga selamanya. Firman Allah SWT:

“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari Akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (QS Ali ‘Imran: 85)

Maka, adalah wajib kepada para pemimpin Islam untuk mendaulatkan kesucian agama Islam ini agar tidak dicerca oleh pihak-pihak yang penuh dengan unsur-unsur Islamophobia di negara ini. Ambillah pengajaran daripada pentadbiran sebelum ini di mana Islam dengan sewenang-wenangnya dicerca, dihina hingga hilang sifat senstiviti pada agama suci ini. Tetapi, para pemimpin sebelum ini hanya diam tidak berkutik, mungkin sudah dikawal oleh pihak berkepentingan.

Ingat, menjadi pemimpin bukan hanya bersandarkan kepada urusan dunia sahaja, agama juga harus bergerak seiring agar hidup masyarakat di negara ini dapat diseimbangkan. Walaupun kita harus menghormati hak agama lain seperti yang ditetapkan din dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, tapi sebagai pemimpin Islam agama Islam, wajib kita untuk mendaulat dan mengutamakan agama Islam terlebih dahulu. Firman Allah SWT maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (QS al-Anfal: 27).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here