Apabila kita melihat senario negara pada hari ini, seolah-olah rakyat telah ingkar atas arahan pemimpin. Bukan sahaja pemimpin, malah saranan pemerintah Yang Di-Pertuan Agong juga disanggah dengan sewenangnya tanpa adab dan tatasusila. Majoriti penduduk di Malaysia ini beragama Islam yang sudah diketahui penuh dengan adab dan akhlak yang baik. Mengapa masih lagi terikut dengan cara ‘barbarian’ pihak yang berotak negatif?

Daripada Ibn Umar RA, daripada Nabi SAW, dia bersabda: “(Wajib) Ke atas semua muslim untuk mendengar dan mentaati pemerintah samada dalam perkara yang dia suka atau tidak, melainkan sekiranya pemimpin itu memerintahkan kepada perkara maksiat. Sekiranya dia memerintahkan perkaa maksiat, maka tidak perlu didengari dan ditaati.” (Sahih Muslim: 1839)

Hadis di atas jelas menggambarkan kewajipan kita sebagai umat Islam untuk mendengar dan taat kepada pemerintah selagi perintahnya tidak menjurus ke arah kemaksiatan. Persoalannya, apakah seruan dan saranan pemimpin negara pada hari ini berunsurkan maksiat? Arahan untuk duduk di rumah sepanjang PKP untuk mencegah diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19 itu dikira sebagai maksiat? Saranan kepada kita untuk mengambil suntikan vaksin itu pun dikira sebagai maksiat juga? Usah dipolitikkan keadaan ini, sebaliknya pandanglah pada usaha keras mereka dalam memastikan keselamatan kita terjamin dan terhindar daripada jangkitan penyakit.

Sabda Rasulullah SAW:

“Siapa yang taat kepadaku, bermakna ia telah mentaati Allah SWT. Siapa yang derhaka kepadaku, bermakna dia telah menderhakai Allah SWT. Siapa yang taat kepada pemimpin, bermakna dia telah taat kepadaku. Dan siapa yang derhaka kepada pemimpin, bermakna dia telah derhaka kepadaku.” [HR al-Bukhari: 6718]

Di antara prinsip utama dalam Islam adalah kewajiban mentaati pemimpin selagi mana mereka tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Mentaati pemimpin termasuk dalam ketaatan kepada Allah SWT, dan ketaatan kepadaNya adalah perkara wajib. Dengan begitu, menyalahi keputusan dan arahan pemimpin adalah cerminan kepada perbuatan maksiat kepada Allah SWT dan RasulNya.

Justeru, kita perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung jangkitan COVID-19. Kita juga haruslah tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab dan ketaatan rakyat kepada arahan pemimpin dalam membendung penularan wabak penyakit ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here