Suatu ketika dahulu kerbau dan sawah begitu sinonim. Tanpa kerbau, padi di sawah mungkin akan mati atau mungkin tidak dapat dikerjakan. Dahulu pemandangan kerbau mengerjakan sawah padi adalah ‘klise’ namun kini ianya adalah suatu pengalaman yang perlu dirakamkan. Kerana saat-saat seperti ini agak sukar untuk kelihatan lagi. ‘Mesin padi’ telah menggantikan tugas kerbau.

Majoriti golongan pesawah yang mengusahakan tanaman padi di sekitar Kedah dan Perlis berusia 60 tahun ke atas. Manakala bagi golongan pekebun kecil untuk sektor sawit dan getah majoritinya didominasi oleh golongan pertengahan yang berusia 45 tahun ke atas. Walaupun penggunaan ‘mesin padi’ dianggap sebagai salah satu pertanian moden, namun ianya belum mampu menandingi teknologi penggunaan satelit dan dron.

Majoriti pesawah di Kedah dan Perlis dimonopoli oleh golongan warga emas

Oleh itu, kebanyakan pesawah dan pekebun pada usia ini menggunakan kaedah tradisional untuk pertanian mereka. Bukanlah mahu menidakkan kemodenan yang banyak memberikan kemudahan kepada industri pertanian, tetapi atas faktor kos dan kekurangan ilmu berkenaan teknologi menyebabkan kaedah permodenan ini kurang mendapat tempat di hati petani konvensional.

Untuk menguruskan ladang dan sawah yang mempunyai keluasan berkapasiti besar memerlukan pengunaan tenaga buruh yang ramai. Kaedah penggunaan dron serta automasi dapat menggantikan penggunaan tenaga buruh untuk tugas pemantauan sekaligus mengurangkan kos operasi. Teknologi satelit dapat membantu petani-petani mengesan kawasan yang bermasalah dengan tepat dan menyeluruh. Pemerhatian dan penjagaan yang khusus juga dapat dikenalpasti dengan penggunaan dron.

Jika ingin memulakan projek pertanian pasti perkara pertama yang muncul di benak fikiran adalah mempunyai tanah yang seluas mata memandang. Tetapi kini, teknologi hidroponik dan teknologi pencahayaan untuk penanaman dalam bangunan mampu merealisasikan impian golongan generasi muda mahupun petani moden berjinak-jinak di dalam dunia pertanian.

Di Jepun, kaedah penanaman secara vertikal telah dipraktikkan oleh penduduk di sekitar bandar. Kaedah ini membolehkan penduduk bandar menanam tanaman tanpa meninggalkan gaya hidup di kawasan bandar.  Bahkan jumlah petani muda di Jepun telah menunjukkan peningkatan daripada 23,000 orang pekerja di bawah umur 49 tahun pada 2015, berbanding 18,000 orang, lima tahun sebelumnya.

Kaedah penanaman secara vertikal merupakan inovasi baharu untuk penduduk bandar

Teknologi pertanian menggunakan kaedah robotik kedengaran agak janggal di kalangan rakyat Malaysia. Tetapi sistem ini berguna sebagai alternatif kepada petani moden untuk menggantikan proses kerja menuai, memetik, mencantas dan membaja.  Segala proses kerja ladang dapat dilakukan dengan sistematik dan cepat selain daripada menjimatkan kos operasi. Di Perancis, sebuah robot dipanggil Wall-Ye telah dihasilkan untuk memeriksa tanaman anggur. Sistem ini masih lagi jarang diaplikasikan di Malaysia. Maka adalah penting jika suatu kertas kerja dihasilkan untuk merangka sistem navigasi robotik seperti ini mengikut kesesuaian tanah dan tanaman di Malaysia.

Persepsi masyarakat yang beranggapan profesion sebagai petani adalah ‘lekeh’ dan kurang menguntungkan perlu segera dibuang. Profesion ini jika dimanfaatkan akan memberi keuntungan berlipat kali ganda. Tidak mustahil gaji yang diperolehi akan melebihi pekerja di bidang professional dan menjadikan kerjaya sebagai petani moden setaraf dengan pekerja di syarikat antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here