Sebelum ini kita telah melihat pelbagai kes penyamaran sebagai anggota penguatkuasa dilaporkan di dada-dada akhbar. Pelbagai kes jenayah dan salah laku telah dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab apabila menggunakan teknik menyamar sebagai seorang anggota penguatkuasa untuk menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Baru-baru ini tular kes penyamaran seorang remaja yang berusia 19 tahun menjadi seorang anggota polis berpangkat inspektor. Semasa ditangkap oleh pihak polis, remaja tersebut mendakwa bahawa beliau sedang membuat risikan dan pemantauan kegiatan mat rempit di sekitar Jalan Kluang, Johor.

Antara peralatan yang digunakan oleh penyamar polis

Oleh itu, perlu kita ketahui bahawa perkara ini merupakan satu kes yang perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan menyamar menjadi seorang aggota penguatkuasa ini akan meningkatkan lagi kes jenayah di dalam negara kita. Hal ini kerana sudah pasti mereka akan menyalahgunakan “kuasa palsu” mereka untuk mengambil kesempatan kepada orang awam.

Masalah ini juga akan membuatkan orang awam tidak lagi mahu menghormati  unit penguatkuasa di negara kita oleh kerana mereka tidak mampu menilai dengan baik sama ada anggota penguatkuasa berkenaan adalah benar atau sekadar menyamar. Hal sebegini akan menjejaskan imej penguatkuasa terjejas dan kepercayaan orang ramai terhadap badan penguatkuasa.

Mereka juga berbangga dengan kesalahan itu apabila mendedahkannya di media sosial

Bagi sesiapa yang didapati melakukan kesalahan menyamar sebagai seorang anggota penguatkuasa, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai juga perlu lebih peka terhadap isu ini supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan muslihat golongan penyamar ini. Kita telah dengar pelbagai kes yang melibatkan penyamaran identiti anggota penguatkuasa sebelum ini yang mana mereka telah melakukan jenayah merompak, membunuh dan banyak lagi.

Tidak dinafikan bahawa jualan peralatan secara “online” turut mendorong kepada peningkatan kes ini. Sehubungan dengan itu, platform jualan online bagi peralatan penguatkuasa seperti polis perlulah dipantau dan diharamkan. Ini kerana penjualan peralatan ini secara terbuka adalah tidak dibenarkan kerana mereka yang mempunyai peralatan tersebut hanyalah untuk mereka yang mendapat kebenaran sahaja.

Justeru itu, sekiranya didapati terdapat mana-mana individu yang menyamar dan dicurigai sebagai seorang anggota penguatkuasa, anda perlu segera membuat aduan kepada pihak polis supaya mereka yang bersalah akan mendapat hukuman yang setimpal. Sebagai seorang rakyat Malaysia kita perlu menghormati tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota penguatkuasa, jangan sesekali kita memperlekehkan tugas dan tanggungjawab mereka dengan melakukan perkara sedemikian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here