Memasuki minggu pertama bulan kemerdekaan sudah pasti membuatkan kita terbayang meriahnya sambutan hari kemerdekaan. Tarikh bersejarah dengan laungan keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka! sering dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Secara dasarnya, kita semua sedia maklum bahawa Merdeka membawa maksud kita sudah bebas dari jajahan kuasa asing dan ini membolehkan kita mentadbir negara mengikut perancangan kita.

Namun, seiring dengan peredaran masa kini, adakah makna kemerdekaan tersebut masih boleh diguna pakai? Melihat kepada perubahan yang berlaku pada masa ini jelas menunjukkan bahawa penghayatan erti kemerdekaan generasi sekarang jauh berbeza dari zaman dahulu.

Kecintaan kepada negara dan semangat patriotisme adalah satu perasaan dan sifat yang menuntut kita untuk bertanggungjawab, setia dan sedia bekorban untuk negara. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia generasi sekarang yang tidak melalui zaman negara dijajah, seharusnya memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Kita sudah cukup beruntung kerana nenek moyang kita meninggalkan sebuah negara yang sudah merdeka. Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia perlu sedar dan faham bahawa adalah penting untuk menghayati sebuah kemerdekaan kerana ia adalah sebuah amanah yang ditinggalkan dan perlu dipertahankan.

Erti kemerdekaan bukan sekadar sambutan

Selain itu, kemerdekaan juga seharusnya menjadikan kita rakyat yang lebih baik dalam menjaga maruah negara dalam pelbagai aspek. Memahami dan menghayati kemerdekaan juga akan menyedarkan kita bahawa penting untuk kita mengekalkan perpaduan yang dikecapi sekarang bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi sekarang.

Sementara itu, kita juga tidak boleh menafikan bahawa kemajuan yang berlaku kini menyebabkan berlakunya penjajahan secara moden seperti penjajahan budaya, penjajahan ekonomi, penjajahan sosial dan penjajahan minda. Terlalu taksub dengan teknologi juga telah menyebabkan generasi sekarang kurang memahami erti kemerdekaan yang sebenar.

Celik IT sememangnya keperluan pada zaman serba canggih ini namun kekurangan pengisian semangat patriotisme terhadap generasi celik IT telah menyebabkan mereka tidak menghayati kemerdekaan sebenar. Selain itu, kita tidak boleh menolak bahawa setiap malam sambutan hari kemerdekaan ada sahaja remaja-remaja yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan bagi menzahirkan sambutan kemerdekaan. Ini telah menunjukkan bahawa sebahagian besar generasi sekarang tiada pengisian yang sebenar mengenai erti kemerdekaan.

Kemerdekaan sebenar bukanlah hanya dengan mengingati dan dizahirkan dengan sambutan semata-mata malah ia perlu dihayati. Masyarakat kita perlu dididik daripada bangku persekolahan mengenai betapa pentingnya sikap sayangkan negara. Di sini, para pendidik juga perlu memainkan peranan penting dengan memberikan penekanan yang kritikal mengenai patriotisme supaya ia dapat difahami dan dipraktikkan oleh pelajar.

Semangat patriotisme mampu dipupuk melalui perpaduan

Selain itu, media massa juga bertanggungjawab mempromosikan iklan-iklan yang mampu menimbulkan rasa sayang masyarakat kepada negara supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Tumpuan masyarakat kita yang lebih gemar kepada telefon pintar dan televisyen seharusnya digunakan sebaik mungkin dengan menayangkan drama atau filem patriotisme seperti ‘Bukit Kepong’ dan ‘Paskal’ yang boleh memberi impak kepada masyarakat masa kini.

Laungan Merdeka mungkin kelihatan mudah untuk dilaungkan setiap tahun. Namun, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa sehingga kini masyarakat kita masih kurang menghayati erti kemerdekaan. Saban tahun isu ini sering diperkatakan namun ia masih seakan menemui jalan buntu dalam melahirkan masyarakat yang patriotik.

Justeru itu, sememangnya ia bukanlah kerja mudah untuk dilaksanakan. Oleh itu, tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan malah ibu bapa, para pendidik serta masyarakat keliling juga perlu memainkan peranan sebaik mungkin. Semangat patriotisme hanya dapat dipupuk melalui perpaduan tanpa mengira agama dan kaum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here