Hari kemerdekaan Malaysia bakal berlangsung kurang daripada seminggu dan ini bermakna negara sudah mencapai 62 tahun kemerdekaan. Akan tetapi, adakah kita terfikir yang selama hampir 62 tahun kemerdekaan negara ini rakyat Malaysia juga sudah mencapai kemerdekaan dari segi pemikiran di dalam minda mereka? Nampaknya belum lagi.

Jika dilihat dengan mata kasar, memang benar rakyat Malaysia sudah merdeka, tetapi ia adalah dari segi ekonomi. Hal ini kerana negara mengamalkan dasar jalinan persahabatan dengan negara-negara luar hingga berjaya menarik para pelabur asing untuk melabur ke dalam Malaysia sekaligus meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi rakyat. Namun, tidak pada kehidupan sosial dan politik di mana masih terdapat sebilangan besar masyarakat negara ini mengamalkan sikap assabiyah atau berpuak-puak. Sikap ini semakin jelas kelihatan apabila timbulnya beberapa isu yang menggugat keharmonian kaum.

Rusuhan terjadi akibat propaganda pihak tidak bertanggungjawab

Hari ini, boleh dikatakan saban hari negara dilanda dengan pelbagai isu kontroversi bermula dari percanggahan antara ahli politik dan para penyokong mereka hinggalah yang membabitkan pelaksanaan dasar kerajaan. Antara isu yang hangat diperkatakan kini terarah kepada perseteruan di antara para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan tinggi kerajaan. Ini disebabkan oleh tuntutan janji mereka terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya segera berundur dan menyerahkan tampuk pimpinan kepada Anwar.

Selain itu, isu lain seperti kes Dr. Zakir Naik dan pelaksanaan tulisan khat di sekolah-sekolah vernakular serta isu berkenaan para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Topik ini hangat dibincangkan di laman-laman sosial hingga mencetuskan kontroversi di mana ada sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur sensitif hingga akhirnya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terpaksa menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan sebarang kekecohan berlaku di negara ini. Akibat daripada kenyataan kontroversi tersebut, ia akhirnya akan menyebabkan ketidaktenteraman awam dan wujud himpunan rakyat untuk menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan.

Mengapa wujud lagi sikap seperti ini di kalangan rakyat Malaysia sedangkan negara sudah mencapai kemerdekaan separuh abad? Kerana provokasi yang melampau dan tindakan melebihi dari kewarasan akal. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat Malaysia masih lagi berfikiran ‘mentah’ dan tidak pandai menilai di antara kebenaran dan kebatilan sesuatu perkara. Semua tindak-tanduk dinilai mengikut perasaan dan bukannya berdasarkan fakta dan logik akal.

Mengambil contoh isu tulisan khat dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Rakyat dimomokkan dengan pelbagai isu negatif tentang dasar kerajaan ini hingga tercetusnya himpunan bantahan terhadap pelaksanaan kedua-dua mata pelajaran tersebut. Setiap hari, banyak isu negatif yang sengaja ditebarkan bagi menghalang usaha kerajaan dalam melaksanakan dasarnya kepada rakyat.

Rakyat Malaysia seharusnya berfikiran matang selaras dengan kemajuan negara

Dalam hal ini, kerajaan harus memikirkan alternatif atau solusi yang efektif bagi mengubah persepsi negatif rakyat dalam usaha memerdekakan minda mereka terhadap pelaksanaan dasar kerajaan. Antara langkah tersebut adalah dengan menyediakan segala informasi serta penerangan mengenai pelaksanaan sesuatu dasar di semua laman sesawang jabatan kerajaan. Ini bagi membolehkan rakyat menilai dan mengetahui sejauh mana dasar itu boleh membantu memajukan kehidupan masyarkat negara ini.

Justeru, rakyat Malaysia seharusnya perlu berfikiran bijak dalam menilai sesuatu perkara. Jangan disebabkan tularnya dakwaan-dakwaan palsu, maka kita juga harus menunjukkan rasa protes terhadap kerajaan. Ambillah iktibar dari tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini. Sekarang, sudah sampai masanya kita menjadi rakyat yang merdeka bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dari segi sosial dan pemikiran. Ini kerana kejayaan sesebuah negara bergantung kepada kebijaksanaan rakyatnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here