Kerajaan terus komited menjalankan tugas untuk memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat. Pada 9 Januari 2019 kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan skim baharu di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Skim ‘micro housing’ ini akan dapat memberi manfaat kepada golongan bujang di dalam kumpulan B40 mulai pertengahan tahun 2019.

Perancangan DBKL untuk melaksanakan skim ini bermula sejak kerajaan terdahulu pada Februari 2018 sempena Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9. DBKL bersama Think City telah menjalankan satu eksperimen sosial berkaitan keperluan asas ini di Medan Pasar. Mengikut perancangan awal, skim ‘micro housing’ ini menggunakan konsep ‘communal living’ iaitu perkongsian ruang tempat tinggal. Oleh itu, pihak Think City mengambil keputusan untuk mencuba konsep ini melalui pendekatan micro house atau rumah mikro. Konsep micro house ini kebiasaannya berukuran 250 hingga 350 kaki persegi dan direka secara minimalis agar setiap ruang dapat digunakan secara efisen.

Konsep communal living ini diilhamkan daripada semangat kehidupan di kampung, iaitu saling bantu membantu tetapi di dalam konteks kehidupan di bandar. Maka, mengikut perancangan Think City idea ini akan diaplikasikan dengan mengguna semula bangunan yang kosong atau bangunan komersial yang tidak lagi beroperasi. Daripada idea ini, maka wujudnya skim ‘micro housing’.

Kerajaan menggunakan konsep seperti ‘capsule hotel’ untuk skim rumah mikro

Melalui skim ‘micro housing’ ini, DBKL menggunakan konsep sama seperti ‘capsule hotel’ di mana bangunan lama DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman akan diubahsuai menjadi dua blok untuk lelaki dan wanita bujang. Setiap blok mempunyai 120 bilik yang mampu menampung sehingga 200 orang penghuni. Penyewa bujang ‘micro housing’ ini akan dikenakan kadar sewa sebanyak RM100, tetapi syarat yang dikenakan kepada penyewa ialah mereka tidak dibenarkan untuk memasak.

Walaupun skim baharu ini masih belum dibuka untuk permohonan, namun kerajaan perlu mengetatkan syarat-syarat permohonan kerana dikhuatiri akan disalah guna oleh pihak lain. Individu yang masih bujang di dalam kelompok B40 adalah golongan sasaran kerajaan dalam skim ‘micro housing’. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, sudah semestinya mereka tidak mahu warga asing yang sama-sama mencari rezeki di Kuala Lumpur (KL) mengambil kesempatan untuk mendapatkan skim baharu ini.

Pemantauan ketat juga harus dilakukan apabila penyewa sudah mula menduduki blok kediaman masing-masing. Status ‘bujang’ yang dipegang oleh penyewa-penyewa mungkin ‘tiket’ kepada gejala masalah sosial seperti pergaulan bebas kerana bangunan milik DBKL ini dibahagikan kepada dua blok untuk lelaki dan wanita. Malahan, pemantauan ini juga dapat mengelakkan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi ‘orang ketiga’ dengan menyewakan rumah mikro ini kepada pihak lain dengan kadar sewa yang sedikit mahal, tetapi masih lagi murah berbanding dengan rumah sewa lain di sekitar KL.

Sisi-sisi negatif yang dihuraikan di atas bukanlah alasan utama untuk menyatakan bahawa skim ‘micro housing’ ini tidak wajar diperkenalkan di negeri lain. Skim ini, secara umumnya memberikan manfaat kepada golongan bujang B40 yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi tidak mampu untuk menyewa rumah kerana kadar sewanya yang tinggi.  Kerajaan juga dapat memanfaatkan bangunan-bangunan lama ini untuk membantu menggurangkan bebanan kewangan golongan sasaran.

Projek DBKL ini mensasarkan golongan bujang B40 dengan mengenakan kadar sewaan RM100

Jika projek skim ‘micro housing’ berjaya, wajar bagi pihak kerajaan dengan kerjasama penguatkuasa negeri untuk meluaskan skim ini ke bandar-bandar utama di Malaysia seperti Pulau Pinang, Johor Bharu dan Selangor. Bandar-bandar ini menjadi sasaran kerana ia menjadi tumpuan utama penduduk-penduduk luar bandar untuk berimigrasi bagi mencari peluang pekerjaan.

Rangka kerja dan strategi dasar-dasar dalam membantu kebajikan rakyat perlu diperluas dan dipergiatkan lagi agar ianya seiring dengan dasar pembangunan dan ekonomi negara. Sebuah negara yang maju adalah yang memperjuangkan dasar-dasar menjaga kebajikan rakyat kerana rakyat adalah penggerak kepada ekonomi negara. Apabila rakyat mendapat manfaat daripada dasar-dasar kerajaan ini, mereka dapat menghasilkan suatu produktiviti yang berkualiti. Oleh itu, kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here