Walaupun PRU-14 sudah lama berlalu namun hari bersejarah itu seolah-olah masih segar di ingatan rakyat Malaysia pada hari ini. Hal ini kerana detik tersebut telah menjadi saksi di mana parti yang selama ini sudah berkuasa hampir 60 tahun Barisan Nasional (BN) telah tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH).

Memang tidak dapat dinafikan kemenangan PH pada PRU-14 yang lalu jelas telah memberikan kegembiraan kepada para penyokong serta pengundi PH pada ketika itu. Ia umpama satu kemenangan rakyat Malaysia yang mahu menolak parti yang tidak memperjuangkan hak rakyat serta gagal mentadbir negara dengan baik.

Walau bagaimanapun, berbeza pada hari ini apabila hari demi hari rakyat semakin bosan dan hilang kepercayaan kepada kerajaan PH. Ini adalah disebabkan kegagalan kerajaan untuk menunaikan segala janji atau manifesto yang telah mereka buat sebelum mereka memenangi PRU-14 sebagai contoh janji pemansuhan tol, pemansuhan hutang PTPTN dan banyak lagi.

Perhimpunan ICERD yang telah diadakan kerana kerajaan tidak tegas di dalam isu ini

Rakyat merasakan seolah-olah mereka telah ditipu dan dipergunakan sahaja semasa kempen PRU-14 sebelum ini apabila mereka sekadar membuat janji-janji palsu sekadar untuk meraih sokongan rakyat sahaja. Keputusan rakyat memberikan undi kepada PH adalah kerana mereka mahukan pemerintahan yang lebih baik dari sebelum ini, namun rakyat jelas kecewa dengan pencapaian kerajaan pada masa kini yang telah disifatkan sebagai gagal walaupun belum setahun mereka memerintah negara ini.

Selain itu, kegagalan menteri-menteri dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat juga menjadi salah satu faktor rakyat hilang kepercayaan kepada pihak kerajaan. Lihat sahaja baru-baru ini isu penghinaan nabi serta isu perhimpunan LGBT berlaku di negara ini, namun rakyat tidak melihat sebarang usaha dari pihak menteri yang bertanggungjawab kepada isu ini untuk cuba menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.

Segala yang ditimbulkan oleh rakyat perlu dipandang secara serius oleh pihak kerajaan supaya kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan PH dapat dipulihkan semula. Beringatlah kerajaan PH hari ini berkuasa adalah kerana rakyat telah memberikan kepercayaan untuk mengubah nasib mereka yang sebelum ini seolah tertindas di era pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Perhimpunan LGBT yang jelas menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kerajaan hari ini terus memberikan fokus untuk membantu bagi memulihkan ekonomi rakyat di negara ini. Wujudkan semula bantuan-bantuan khas bagi golongan yang kurang berkemampuan seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu. Segala usaha kerajaan terdahulu terhadap rakyat perlu dikaji dan diteliti sebaik mungkin sebelum kerajaan  mengambil sebarang keputusan untuk memansuhkannya.

Janganlah kerana kita sudah berkuasa kita terus membuang atau melupakan segala usaha baik kerajaan terdahulu kepada rakyat. Para menteri juga diharapkan supaya mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh mengundang kontroversi kerana perkara tersebut juga akan mengundang pelbagai spekulasi daripada rakyat. Rakyat juga berharap pihak kerajaan dapat merangka pelbagai langkah proaktif untuk memulihkan semula keadaan ekonomi di negara ini yang dilihat semakin merudum  sejak kerajaan PH memerintah. Jika kerajaan hari ini dapat menjaga dan menitik beratkan kebajikan rakyatnya, tidak mustahil rakyat akan memberi sokongan 100 peratus kepada kerajaan sedia ada untuk terus mentadbir negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here