Kemiskinan merupakan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh semua negara. Malahan Malaysia yang merupakan salah sebuah negara membangun juga tidak terlepas dari mempunyai rakyat yang hidup di dalam kemiskinan. Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun melahirkan kebimbangan dengan gejala kemiskinan bandar yang membelenggu warga kota dan beliau menyifatkannya lebih serius daripada kemiskinan di kampung. Beliau menjelaskan berdasarkan data dan pemerhatian menunjukkan rata-rata rakyat Malaysia yang berdepan dengan masalah miskin bandar, malah menjadi gelandangan di rumah transit di ibu kota, adalah terdiri daripada kumpulan rakyat yang berasal dari kawasan luar bandar.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah miskin bandar ini antaranya pendapatan yang sedikit berbanding dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan penduduk bandar sukar untuk mendapatkan keperluan asas dengan sempurna. Keperluan asas yang dimaksudkan merangkumi bahan makanan, minuman, pakaian serta tempat tinggal. Ini menyebabkan taraf hidup penduduk bandar terjejas dan meningkatkan jumlah kemiskinan di dalam bandar sehingga mereka sanggup menyewakan rumah mereka serta memilih untuk tinggal di kawasan setinggan yang lebih murah.

Tinggal di rumah setinggan akibat kemiskinan

Dari segi tahap pendidikan yang rendah menyebabkan terdapat segelintir golongan masyarakat tidak mendapat pekerjaan yang menawarkan tahap pendapatan yang tinggi. Taraf pendidikan yang sekadar kelulusan sijil sahaja tidak memberikan jaminan yang besar untuk mendapat pekerjaan dalam sektor formal, kerana kebanyakan syarikat lebih mementingkan kecekapan dan kemahiran dalam menjalankan pengurusan. Kesan buruk akibat tahap pendidikan yang rendah ini ialah dari segi penglibatan golongan ini dalam melakukan jenayah di bandar seperti mencuri dan meragut kerana terdesak untuk meneruskan kehidupan.

Realitinya, kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan perebutan pekerjaan di bandar merupakan fenomena yang semakin kerap berlaku di bandar-bandar Malaysia. Majikan zaman kini gemar untuk mengupah pekerja asing untuk menjimatkan kos. Pasaran buruh kini telah dibanjiri oleh pekerja-pekerja asing yang dikatakan murah terutamanya dalam sektor perindustrian dan pembinaan. Pekerja tempatan yang meminta gaji tinggi adalah kurang berdaya saing berbanding dengan pekerja asing.  Ini memberi kesan buruk kepada mereka yang mempunyai pendapatan yang rendah dan tidak setaraf dengan perbelanjaan ditambah pula dengan kadar kenaikan barangan yang tinggi memaksa mereka untuk berhutang. Ia sekaligus menjejaskan taraf hidup dan meningkatkan kemiskinan bandar.

Justeru, pihak kerajaan sewajarnya mengambil langkah proaktif dengan menyediakan satu pelan yang komprehensif bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar. Sebagai contoh, kerajaan seharusnya menyediakan perkhidmatan Bas GOKL percuma. Sebelum ini bas hanya bergerak dalam bandar tetapi sudah mula melalui kawasan perumahan kos rendah untuk ke pusat bandar.

Sediakan Bas GoKL secara percuma untuk golongan ini

Selain itu, kerajaan juga seharusnya menambah peluang pekerjaan dengan membina lebih banyak kilang-kilang di bandar bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan kurang berkemampuan untuk menjana pendapatan seterusnya dapat memperbaiki kehidupan mereka.

Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama bagi menangani masalah kemiskinan bandar ini. Bukan semua masyarakat miskin bandar mampu keluar dari kancah kemiskinan, namun usaha yang berterusan khususnya dari pihak kerajaan dan masyarakat dalam menangani masalah ini menyebabkan nasib mereka ini terbela. Mungkin pada satu hari nanti golongan miskin bandar ini mampu bersaing dalam dunia globalisasi dan proses perbandaran yang pesat membangun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here