Berita seorang pemain bola sepak yang kini mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) sah mendapat kewarganegaraan telah mendapat maklum balas yang kurang baik daripada orang ramai. Sehubungan dengan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga memaklumkan bahawa pemain tersebut memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi.

Isu ini juga telah menyebabkan ketidakpuasan hati orang ramai di mana telah timbul beberapa persoalan oleh sesetengah kumpulan. Ekoran daripada berita ini juga, mereka berpendapat ‘pemain bola sepak’ lebih mudah mendapat hak kerakyatan daripada seorang anak yang salah seorang ibu atau bapanya rakyat Malaysia namun tidak diberikan kerakyatan.

Syarat dan prosedur permohonan hak kerakyatan bagi warga asing perlu diperketatkan

Perlu difahami juga bahawa terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi warga asing bagi mendapatkan hak kerakyatan Malaysia. Antara syarat permohonan yang perlu dipatuhi adalah pemohon mestilah berumur 21 tahun ke atas dan perlu hadir di hadapan Pendaftar Warganegara semasa mengemukakan permohonan. Selain itu, pemohon juga harus melepasi had bermastautin iaitu tidak kurang dari 10 tahun dalam tempoh 12 tahun.

Namun, ia bukanlah soal mudah atau tidak mendapatkan hak kerakyatan. Malah, setiap permohonan mengikut kategori telah ditetapkan syarat serta tapisan sebaik mungkin oleh pihak berwajib baik bagi warga asing atau rakyat Malaysia sendiri.

Permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan hak kerakyatan perlu diberi keutamaan

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan keluhan mereka kerana mungkin terdapat beberapa perkara yang diperkatakan adalah realistik dan perlu diberikan perhatian. Sebagai contoh, seperti kes ini pemberian hak kerakyatan kepada seorang pemain bola sepak bagi membolehkan menyarung jersi negara bukanlah keperluan mendesak kerana kita sendiri masih mampu melahirkan seorang pemain yang berkualiti bagi mewakili negara.

Hakikatnya, kes-kes seperti ini juga sedikit sebanyak telah menimbulkan ketidakyakinan dan keraguan rakyat kepada kerajaan kerana mengabaikan keutamaan rakyat sendiri. Selain itu, mungkin kerajaan perlu meneliti semula mengenai pemberian hak kerakyatan kepada warga asing dengan lebih ketat supaya kebajikan dan keperluan rakyat tidak terabai.

Ironinya, persoalan demi persoalan kritikal akan terus timbul sekiranya ia terus diabaikan. Perasaan ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’ tidak seharusnya membelengu masyarakat kita hanya kerana isu seperti ini gagal dijelaskan dan diselesaikan sebaik mungkin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here