Ketibaan musim tengkujuh mungkin bukan berita gembira buat golongan petani dan nelayan yang sumber pendapatannya bergantung kepada kebun-kebun kecil dan hasil laut. Agak mencabar sebenarnya untuk keluar mencari rezeki di tengah laut ketika angin bergelora. Begitu juga bagi pekebun kecil jika hasil tuaian mereka rosak akibat hujan lebat atau banjir.

Musim tengkujuh menyukarkan nelayan mencari rezeki

Kebanyakan daripada golongan petani dan nelayan ini terpaksa mencari sumber pendapatan lain bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang musim tengkujuh. Namun sejauh mana sumber pendapatan lain itu mampu membantu dalam kehidupan seharian mereka. Melalui isu ini, pihak kerajaan perlu memainkan peranan supaya terus konsisten membantu golongan petani dan nelayan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan mengumumkan akan meningkatkan elaun sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM250 sebulan. Manakala Bantuan Musim Tengkujuh pula peruntukkan sebanyak RM200 juta bakal diberikan kepada pekebun kecil getah.

Itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu kedua-dua golongan ini. Namun sejauh mana bantuan ini mampu membantu mereka. Sebelum ini pernah dinyatakan bahawa golongan petani dan nelayan terpaksa mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kehidupan.

Proses pembuatan keropok kering dapat membantu menambah hasil pendapatan

Maka melalui inisiatif itu, kerajaan mungkin boleh membantu kedua-dua golongan ini untuk melibatkan diri dalam sektor perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang mana melibatkan hasil tani dan hasil laut.

Galakan oleh kerajaan supaya golongan nelayan menceburkan diri dalam pembuatan keropok lekor, keropok kering dan pekasam mungkin boleh dijadikan sebagai persediaan kepada golongan itu menghadapi musim tengkujuh. Begitu juga dengan golongan petani, mereka ini perlu mendapat galakan daripada kerajaan untuk mempelbagaikan tanaman, bagi menghadapi musim tengkujuh.

Bagi menghadapi musim monsun timur laut ini, golongan nelayan dan petani tidak boleh mengharapkan bantuan elaun sepenuhnya daripada pihak kerajaan. Mereka perlu memikirkan inisiatif lain untuk terus mencari sumber pendapatan semasa musim-musim sukar itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here