Pembukaan sidang Parlimen bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu melalui proses mengikut asas Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat. Persiapan mengadakan semula sidang Parlimen juga harus dilakukan dengan rapi untuk menepati asas perundangan dan memerlukan masa kerana perlu melihat aspek keselamatan, teknikal dan SOP semasa persidangan dijalankan.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya YDP Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Tetapi perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menentukan tarikh mesyuarat pertama. Mengikut Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, YDP Agong mempunyai kuasa memperkenan dan menetapkan suatu tarikh, tempat serta masa yang sesuai bagi persidangan Parlimen.

Kalau kita perhatikan dalam keadaan tanpa darurat, penentuan tarikh persidangan biasanya dibuat melalui perbincangan Majlis Takwim dan dipersetujui oleh Kabinet. Kemudian tarikh tersebut akan dibawa untuk mendapat perkenan YDP Agong oleh Ketua Majlis iaitu PM mengikut Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. Selepas mendapat perkenan YDP Agong barulah tarikh Sidang Parlimen akan diumumkan.

Kemudian, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu menghantar notis 28 hari sebelum tarikh mesyuarat kepada semua Ahli Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) sebelum satu sidang boleh diadakan. Kita juga perlu melihat proses-proses lain yang perlu dilakukan sebelum Sidang Parlimen dibuka. Seperti penghantaran soalan dan penyediaan jawapan setiap ahli Dewan, pelaksanaan SOP sama ada persidangan fizikal atau hibrid dan perkara-perkara lain yang perlu mendapat penelitian.

Oleh itu, proses pembukaan Sidang Parlimen tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa tetapi perlu mengikut asas Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat. Segala persiapan rapi juga harus dilakukan untuk memastikan kelancaran sepanjang Sidang Parlimen berjalan. Apa yang seluruh rakyat harapkan adalah jalan penyelesaian dari masalah pandemik COVID-19 ini dapat dicapai ketika Sidang Parlimen dibuka nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here