Isu bebanan hutang yang menghimpit golongan peneroka FELDA semakin kritikal dan mengundang keresahan sehingga generasi kedua golongan peneroka turut terkesan. Mana tidaknya, FELDA telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang FELDA berjumlah RM7.5 bilion adalah hutang-hutang peneroka FELDA dan bukannya disebabkan oleh penyelewengan atau salah tadbir urus.

Hutang FELDA yang tinggi menjadi halangan terbesar kepada kerajaan untuk menghapuskan hutang 112,635 peneroka di seluruh negara. Kemelut hutang dan pinjaman tidak dibayar telah membebankan FELDA sehingga dikatakan tidak mempunyai aliran tunai.

Bukan sahaja FELDA, golongan peneroka juga sangat terbeban dengan isu hutang oleh kerana harga komoditi yang turun dengan mendadak menyebabkan golongan peneroka hidup dalam keadaan susah dan berada dalam kebimbangan. Kemelut ini terus menghantui peneroka kerana terpaksa menanggung hutang bagi jangka masa yang lebih lama akibat kelemahan pihak pengurusan FELDA menguruskan ladang mereka. Selain itu juga, peneroka juga terpaksa menunggu bayaran hasil setiap bulan yang lewat sehingga menyukarkan mereka untuk menanggung perbelanjaan harian.

Hutang FELDA yang tinggi menjadi halangan terbesar kepada kerajaan untuk menghapuskan hutang peneroka

Bagi peneroka yang menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan oleh FELDA, mereka menerima bayaran pendahuluan sara hidup sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan namun mereka terpaksa membayar balik pendahuluan sara hidup tersebut selepas pokok mereka berbuah dalam masa tiga tahun namun ada juga peneroka yang terpaksa menunggu sehingga lima tahun untuk mendapatkan hasil. Sudahlah menunggu lama untuk mendapatkan hasil, malahan mereka terpaksa menanggung beban hutang yang semakin bertambah.

Namun begitu, di sebalik segala kemelut yang melanda FELDA, kerajaan tetap berusaha keras memastikan kebajikan peneroka dan keluarga sentiasa dijaga. Kerajaan telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka FELDA melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa dan sebanyak RM32.8 juta diperuntukkan untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula yang telah memanfaatkan 38,000 peneroka FELDA.

Selain itu juga, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh FELDA adalah dengan meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan hutang peneroka bagi menangani pelbagai isu yang ditimbulkan supaya sistem pengurusan hutang yang lebih telus dan baik dapat dilaksanakan.

Kerajaan kini perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kejatuhan harga komoditi yang berlarutan sejak sekian lama. Rata-rata peneroka semakin terhimpit berikutan kejatuhan harga komoditi di samping pengeluaran hasil yang berkurangan.

Kejatuhan harga sawit dipasaran dunia keadaan itu menjadi lebih kritikal kepada peneroka Felda

Pada ketika ini, dengan keadaan hutang FELDA yang berada antara paling tinggi dalam agensi kerajaan tidak memungkinkan kerajaan untuk melunaskan janji melupuskan hutang peneroka. Oleh itu, apa yang lebih penting adalah memastikan FELDA memiliki aliran tunai yang kukuh dan mampu membayar balik hutang.

Selain itu juga, peneroka-peneroka haruslah terus dibantu dengan memberi bantuan seperti bekalan baja dan sebagainya agar dapat mengeluarkan hasil kebun yang tinggi seterusnya dapat membantu golongan tersebut mengurangkan hutang. Oleh itu, penyelesaian jangka panjang perlu dicapai dengan segera agar kesejahteraan golongan komuniti peneroka dapat dipelihara. Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang bersesuaian untuk menghapuskan hutang peneroka FELDA bagi memastikan mereka tidak dibebankan dengan masalah kewangan yang berterusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here