Tumpuan dunia kini ke arah Malaysia di atas penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang akan mengetengahkan isu berkaitan hal ehwal umat dan negara Islam. Sidang ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ menjadi tema dalam KL Summit 2019

Sidang kemuncak ini juga bertemakan ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ yang melihat isu seperti kebangkitan Islamophobia, penahanan umat Islam di seluruh dunia dan penghijrahan besar-besaran umat akibat perang saudara. Peserta dari negara-negara Islam akan membincangkan pelbagai isu yang memberi kesan kepada komuniti Islam, di samping berusaha mencari jalan penyelesaian ke arah kesejahteraan ummah.

Lebih 450 perwakilan dari 56 negara Islam hadir ke sidang kemuncak ini dengan nama-nama besar seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Tetapi wakil daripada Arab Saudi serta Pakistan tidak hadir ke persidangan ini dan ramai beranggapan ianya disebabkan oleh kehadiran wakil daripada Iran dan Qatar yang merupakan bukan sekutu Arab Saudi. Malah ada juga menyatakan Arab Saudi tidak gembira dengan penganjuran sidang kemuncak ini yang dilihat mahu menggantikan Majlis Kerjasama Islam (OIC).

Selain itu, Malaysia mahu mengambil peranan untuk menyatukan negara-negara Islam yang dilihat tidak peka dengan situasi masyarakat Islam di Syria, Palestin dan penduduk Uyghur di Xinjiang, China hingga menyebabkan rakyat mereka ditindas dengan teruk. Negara-negara Islam juga lebih bersikap berdiam diri terhadap isu-isu ini bagi menjaga hubungan diplomasi masing-masing.

Nasib penduduk Uyghur mendapat perhatian dunia tetapi negara Islam masih membisu

Malah, suara yang mahu disampaikan oleh Tun Mahathir adalah negara-negara Islam harus sedar tentang perkara ini dan tidak mendiamkan diri lagi bagi menjaga hal-ehwal masyarakat Muslim yang lain. Tun Mahathir juga berharap sidang kemuncak ini dapat menjadi titik permulaan untuk negara-negara Islam berbincang dan mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda masyarakat Islam tertindas.

Justeru, diharapkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mampu mencapai agenda utama bagi membantu dan menyelesaikan hal-hal yang tidak menyebelahi masyarakat Islam seluruh dunia. Ia merupakan platform yang baik berbanding OIC yang dilihat gagal menangani banyak masalah antarabangsa khususnya di Asia Barat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here