Bukan mudah menjadi ahli sukan wanita khususnya bagi atlet yang beragama Islam. Berpakaian menutup aurat adalah antara tuntutan wajib dalam Islam. Dalam Islam, pakaian patuh syariah sebenar bagi golongan wanita adalah menutupi seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Masih ingat lagi isu Terengganu yang ingin melaksanakan pakaian patuh syariah kepada atlet negeri mereka.  Kini, kerajaan negeri Terengganu sedang giat merangka satu garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet. Walau bagaimanapun, mereka masih mengambil kira pandangan daripada semua persatuan sukan, ahli akademik dan mufti negeri supaya tindakan ini tidak diambil secara terburu-buru.

Sebelum ini ada sahaja atlet wanita yang dikecam gara-gara pemakaian sukan mereka tidak memenuhi patuh syariah. Bidang sukan bukan lagi seperti dahulu di mana tiada siapa yang peduli termasuklah dari segi pemakaian atlet itu sendiri.

Atlet terengganu disaran memakai pakaian patuh syariah

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini perhatian masyarakat sudah mula teralih kepada atlet yang menutup aurat. Maka, tidak hairanlah jika kini ada pihak yang sudah mula bersuara dalam mengutarakan pendapat supaya atlet yang beragama Islam memakai pakaian patuh syariah.

Secara dasarnya ia adalah satu perkara yang positif untuk dilaksanakan namun masih perlu diteliti dengan lebih terperinci mengenai kesesuaian peraturan ini terhadap beberapa jenis sukan. Selain daripada mematuhi tuntutan agama, sedar atau tidak ia juga mampu menjadi contoh kepada semua wanita di negara ini khususnya wanita Islam bahawa sesiapa sahaja boleh bersukan walaupun dengan berpakaian patuh syariah.

Sehubungan itu, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan kerana Islam sendiri adalah agama rasmi negara ini. Selain itu, kejayaan beberapa orang atlet yang berhijab sehingga ke peringkat antarabangsa juga membuktikan bahawa, cara pemakaian seseorang itu bukanlah pengukur sebenar prestasi bagi meraih kejayaan dalam bidang sukan.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menolak kemungkinan usul ini tidak akan diterima oleh semua atlet serta sesetengah pihak atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, kaedah pemaksaan dengan mewajibkan semua mematuhi peraturan ini adalah tidak sesuai digunakan. Kaedah ‘menasihati’ dan ‘galakan’ mungkin lebih baik terutamanya di peringkat awal peraturan ini.

Sementara itu, netizen turut memberikan maklum balas yang berbeza mengenai isu ini. Rata-rata daripada mereka kurang bersetuju dengan perkara ini kerana berpendapat ia boleh menjadi halangan kepada atlet daripada menyertai kejohanan antarabangsa pada masa akan datang. Selain itu, bagi mereka yang menyokong usul ini pula mengatakan bahawa ia perkara yang perlu disokong oleh semua orang kerana terdapat ramai atlet luar masih mampu meraih kejayaan walaupun berpakaian patuh syariah.

Arena sukan global telah membuktikan berhijab bukan penghalang untuk bersukan

Ironinya, pelaksanaan pakaian atlet patuh syariah ini sesuai dilaksanakan kerana pada masa kini sudah ramai atlet bersukan dengan pakaian yang lebih sopan dan tertutup. Namun, pihak berwajib perlu sedar dan lebih peka dengan realiti arena sukan tanah air supaya perkara ini dapat diterima semua atlet di negara ini. Mendekati atlet wanita muslim bagi mendengar pandangan mereka adalah salah satu cara yang mesra bagi memahami dalam membuat garis panduan. Seiring dengan perkembangan sukan global masa kini, sudah banyak atlet muslim yang berhijab membuktikan bahawa mereka juga mampu sehebat atlet lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here