Kerajaan mengumumkan bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) akan berterusan sejajar dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Inisiatif yang digariskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sangat komprehensif membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus beroperasi meskipun dalam keadaan sukar.

Usahawan dalam sektor PKS seluruh negara diketahui antara yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac 2020 bagi membendung penularan wabak COVID-19. Bukan sahaja kehilangan pendapatan bahkan ada dalam kalangan pekerja mereka terpaksa diberhentikan disebabkan syarikat tidak dapat beroperasi. Oleh itu, kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik bagi membantu usahawan PKS di seluruh negara untuk meneruskan perniagaan masing-masing agar terus berkembang terutamanya dalam fasa PKP Pemulihan PKPP.

Melalui pakej ini, kerajaan telah meyediakan peruntukan geran padanan sebanyak RM140 juta. Peruntukan itu akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan produk. Manakala bagi PKS dan syarikat pada peringkat pertengahan atau ‘mid-tier companies’ kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman sebanyak RM700 juta bagi memastikan lebih banyak syarikat mengggunakan perkhidmatan digitalisasi.

PENJANA membantu usahawan PKS kekalkan operasi perniagaan

Ini termasuklah peruntukan sebanyak RM100 juta Geran Padanan Digital PKS, RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah dan RM100 juta Geran Automasi Pintar di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta. Malah sektor perbankan juga akan menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA.

Mengikut statistik perangkaan Jabatan Perangkaan bagi tahun 2020, kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur. Namun begitu, melalui inisiatif ini ia bakal membuka peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Malaysia. Justeru, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja sebanyak RM1.5 bilion. Majikan atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Selain itu, pemberian insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan. Langkah ini diambil oleh kerajaan untuk menangani isu kadar pengangguran belia serta meningkatkan kebolehpasaran di kalangan graduan.

PENJANA buka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia

Malah kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini termasuklah program latihan dan penempatan (place and train) serta pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih dan subsidi latihan.

Hakikatnya kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang terjejas termasuklah usahawan PKS dengan meletakkan asas kukuh menerusi sokongan kewangan dan inisiatif menyeluruh. Bantuan dan sokongan ini diharap mampu melonjakkan kembali PKS agar pendapatan usahawan terus meningkat dan ekonomi negara kembali pada tahap terbaik seperti sedia kala.

Rata-rata penerima bantuan ini khususnya dalam kalangan usahawan PKS berterima kasih dengan usaha kerajaan membantu menaikkan ekonomi industri PKS di waktu sukar ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here