Penularan wabak koronavirus pada ketika ini bukanlah satu-satunya virus yang merunsingkan pihak kerajaan. Malah, virus yang lebih dahsyat dan merunsingkan adalah virus penularan berita-berita palsu atau kenyataan yang bersifat provokatif serta tidak berasaskan fakta sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Virus Coronapalatau sebuah virus yang tiba-tiba muncul dalam kepala otak sebilangan besar manusia menjadikan mereka pakar dalam setiap perkara

Kewujudan golongan yang suka menyebarkan berita palsu di media sosial telah mencetuskan satu istilah baharu pengguna media sosial iaitu ‘palatau’. Istilah ini berasal daripada gabungan perkataan ‘kepala tahu’ yang merujuk kepada seseorang yang suka bercakap tentang sesuatu perkara seakan-akan dia seorang pakar sedangkan dia tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam berkenaan perkara yang dikatakan.

Golongan ‘palatau’ ini cenderung untuk mengeluarkan dan menyebarkan berita berdasarkan pendapat atau telahan peribadi tanpa fakta yang kukuh. Kenyataan golongan ini di media sosial yang bukan sahaja bersifat sensasi malah menerima banyak respon seperti ‘like’ dan ‘share’ menyebabkan sedikit sebanyak masyarakat mempercayai sekaligus mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, berbekalkan gambar dari sumber yang tidak dikenal pasti, golongan ‘palatau’ ini menyebarkan berita bahawa pesawat yang penuh dengan penumpang warga China tiba di Langkawi kerana melarikan diri dari koronavirus di negara mereka. Sudah pastinya berita seperti ini membimbangkan rakyat Malaysia apatah lagi pada ketika itu wabak koronavirus telah menjangkiti warga China.

Kecoh di media sosial di mana warga China tiba di Langkawi bagi melarikan diri dari wabak koronavirus di China

Berita palsu dan ditambah pula kuasa viral netizen di media sosial mampu memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara. Berita palsu seperti penularan wabak koronavirus telah menular di beberapa negeri di Malaysia akan mengundang panik masyarakat sekaligus memburukkan keadaan di mana masyarakat melakukan pembelian panik barang keperluan harian sehingga menyebabkan kenaikan harga barang.

Kebangkitan teknologi dan kuasa viral media sosial adalah cabaran yang harus ditempuhi namun ia perlu ditangani sebaiknya agar budaya menular berita palsu tidak menjadi virus yang merosakkan masyarakat dan negara. Penularan berita-berita palsu ini memperlihatkan bahawa perlunya satu akta seperti Akta Antiberita Tidak Benar kerana dengan kewujudan akta tersebut ia memberi mesej yang jelas bahawa setiap perkongsian yang palsu perlu dipertanggungjawabkan oleh individu serta ia perlu didakwa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here