Isu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih lagi diperdebatkan oleh sesetengah pihak. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih lagi belum memutuskan tarikh pelaksanaannya, akan tetapi sebilangan netizen di negara ini seakan ‘lebih sudu dari kuah’ apabila memberi kupasan berkenaan isu tersebut seolah-olah kerajaan sudah membuat keputusan mengenainya.

Dalam ruangan komen di setiap laman media sosial, masih ada sebilangan besar netizen memperkatakan tentang keburukan pelaksanaan PPSMI dan impaknya sekira kerajaaan ingin melaksanakan dasar tersebut. Tidak kurang juga ada yang cuba mempolitikkan dasar ini dengan menganggap kerajaan cuba membuat pusingan ‘u-turn’ dalam pelaksanaan dasar yang dibangkang oleh mereka sendiri suatu ketika dahulu.

Pelaksanaan PPSMI menemui kegagalan akibat kurangnya penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan para guru dan pelajar

Di ruangan facebook, seorang netizen meluahkan pendapat peribadi beliau bagaimana sistem pelaksanaan dasar ini memberikan impak terhadap sistem pendidikan negara. Fatimah Ali dalam ruangannya menulis akibat pelaksanaan PPSMI sebelum ini, tahap pendidikan Malaysia menjunam ke ranking 20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking 21 berbanding 20 dalam Sains. Ini kerana kurangnya pendedahan mengenai penguasaan dari segi bahasa dan istilah tidak kira sama ada di kalangan guru mahupun murid.

Sementara itu, bagi seorang lagi netizen, Zubaidi Sudin, beliau tidak kisah sekiranya PPSMI ini hendak dilaksanakan kembali demi kemajuan pendidikan generasi akan datang. Malah, anak beliau sendiri adalah salah seorang pelajar yang tergolong dalam sistem dasar ini suatu ketika dahulu. Baginya, pelaksanaan PPSMI ini tidak perlu dipolitikkan malah harus diperkasakan dan ditambah baik bagi menutup kelemahan dasar yang lampau.

Walaupun pelbagai penerangan telah diberikan, akan tetapi majoriti rakyat negara ini masih tetap dengan keputusan mereka membantah pelaksanaan PPSMI di atas beberapa faktor. Antara faktor utama penolakan dasar ini adalah kerana kegagalan pelaksanaan terdahulu yang menyebabkan negara berhadapan kerugian besar selain jurang pemahaman pelaksanaan dasar ini di antara pelajar bandar dan luar bandar. Hasilnya, keputusan yang diperolehi amat teruk.

Pelaksanaan PPSMI oleh Tun Mahathir adalah demi kemajuan pendidikan generasi akan datang

Selain itu, ada juga yang mempersoalkan pelaksanaan dasar ini dengan mutu pendidikan negara. Yang manakah harus diutamakan? Ilmu atau bahasa? Kerana sekiranya ilmu yang diutamakan, maka eloklah diajar dalam bahasa ibunda kerana mudah difahami. Seperti SJKC menggunakan bahasa Mandarin dalam pengajaran sains dan matematik.

Dalam hal ini, pelaksanaan PPSMI wajar dikaji semula dengan lebih komprehensif agar pelaksanaannya tidak gagal seperti dahulu. Mungkin kerajaan harus menyediakan prasarana dan bentuk latihan yang lebih jitu bagi memberi pemahaman yang sekata kepada para guru dan pelajar agar lebih memperkasakan lagi penguasaan mereka dan mudah menerima pengajaran dan pembelajaran ini secara efektif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here