Di sebalik kesibukan dan kemeriahan pasar borong sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, sebenarnya ada titik hitam yang disembunyikan oleh para peniaga. Kebanyakan aktiviti jual beli mereka dikuasai oleh geng kongsi gelap atau mafia. Maka tidak hairanlah jika pasar-pasar borong di sekitar Selayang dan Kuala Lumpur ini dikuasai oleh pendatang asing.

Ada kenyataan menyatakan bahawa Pasar Borong Kuala Lumpur me ndapat ‘rebutan’ daripada dua buah kongsi gelap Myanmar dan tempatan. Kongsi gelap Myanmar berkerjasama ‘menjaga’ pasar borong ‘berperang’ dan berebut ‘kuasa’ dengan kongsi gelap tempatan yang cuba masuk untuk mendapatkan wang perlindungan, sekali gus mencetuskan konflik angkara perseteruan kumpulan kongsi gelap.

Pasar borong di sekitar Kuala Lumpur terus dikuasai oleh warga asing

Pada Januari 2016, kejadian tembak menembak di Pasar Borong Selayang adalah berpunca daripada perkelahian antara dua kumpulan mafia yang mahu menguasai perdagangan dadah yang lumayan. Kongsi gelap ini adalah kumpulan jenayah yang tidak berdaftar di sisi undang-undang. Mereka biasanya terbabit dengan kegiatan haram bagi membiayai kegiatan mereka dan menggugat ketenteraman awam.

Apabila sebut sahaja geng kongsi gelap pasti sudah terbayang kegiatan perjudian, pengubahan wang haram, ah long, dadah, merompak, peras ugut, rasuah di peringkat tempatan dan bunuh. Apabila sudah mengangkat sumpah sebagai geng kongsi gelap, maka tiada istilah tarik diri atau letak jawatan. Sebaliknya hanya mati menjadi jalan keluar. Peraturan asas itulah menyebabkan kebanyakan geng kongsi gelap tidak berani meninggalkan kumpulan mereka.

Walaupun kebanyakan kes yang melibatkan kongsi gelap di pasar borong adalah agak terpencil, namun jika dilihat pada skop yang lebih besar, ia sebenarnya memberikan impak kepada jenayah-jenayah yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur. Dadah, rompakan dan pembunuhan mungkin ada kaitan dengan geng mafia ini.

Sudahlah berhadapan dengan jenayah mafia, peniaga-peniaga di sekitar pasar borong ini juga terpaksa bergelut dengan ‘permainan harga’ yang dikawal oleh puak-puak jahat ini. Kesannya turut dirasai oleh pengguna apabila berlakunya kenaikan harga secara mendadak.

Antara geng kongsi gelap yang ada di seluruh Malaysia

Lebih sadis lagi apabila geng kongsi gelap Myanmar yang menguasai sekitar pasar borong Kuala Lumpur berani untuk mengugut peniaga-peniaga tempatan. Warga tempatan di ugut oleh warga asing? Soal keselamatan juga menjadi pertaruhan.

Persoalannya mengapa geng kongsi gelap ini masih lagi menguasai pasar-pasar borong di sekitar Kuala Lumpur? Adakah ianya berpunca daripada kelemahan sistem penguatkuasaan? Penguatkuasaan serius sahaja tidak memadai jika masih ada lagi wujud unsur-unsur ‘duit tepi’.

Sistem yang efisien perlu ada dalam rantaian bekalan untuk mengelakkan senario negatif ini berterusan. Peniaga tempatan yang menyewa premis di pasar borong perlu lebih bertanggungjawab dengan premis milik mereka. Budaya mahu mencari wang secara mudah dengan menyewakan tapak pasar borong kepada warga asing perlu dihindari. Pihak berkuasa perlu memantau aktiviti peniaga tempatan ini secara berkala dan berterusan.

Kemasukan warga asing secara mendadak, bukanlah suatu keuntungan yang besar kepada negara. Masih ada lagi impak negatif yang dibawa. Maka kerajaan perlu berpada-pada dengan apa jua program berkaitan dengan pendatang tanpa izin seperti Pemutihan Pati.

Gejala mafia perlu dipandang serius. Budaya ini bukan sahaja mampu merosakkan golongan muda, bahkan ianya mampu mencemar imej bandaraya itu sendiri. Integriti pihak berkuasa juga akan dipersoalkan jika masih tiada lagi penyelesaian kepada masalah ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here