Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataannya akan memperkenalkan garis panduan baru kepada rakyat Malaysia dalam membuat permohonan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada Jun tahun ini. Garis panduan baru itu akan dilaksanakan dengan lebih ketat megikut sistem demerit di mana kaedah penapisan akan dilakukan dengan teliti mengikut jumlah pendapatan selain mewajibkan pemohon mengikuti program induksi sebelum dibenarkan menduduki rumah.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) merupakan suatu inisiatif kerajaan bagi membantu golongan B40

Namun, pasti akan terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan yang akan berlaku sekiranya pelaksanaan garis panduan baru ini dijalankan. Antara kelebihan yang dilihat adalah dari segi penapisan permohonan di mana ia akan dijalankan dengan lebih teliti dan telus melalui data pemohon yang akan disemak. Oleh itu, sekiranya ada percubaan untuk ‘memalsukan’ permohonan maka secara automatik ia akan dikesan dan dibatalkan serta-merta. Ada kemungkinan, si pemohon akan disenaraihitamkan untuk selama-lamanya.

Selain itu, melalui garis panduan baru ini mungkin akan memberikan kelebihan kepada golongan B40 untuk mendapatkan ‘fast lane’ dalam semakan permohonan tanpa perlu menunggu giliran. Ini memudahkan mereka terutamanya permohonan pertama kali mendapatkan kediaman mampu milik dalam masa terdekat sesuai dengan tuntutan semasa kehidupan.

Penyediaan garis panduan baru oleh KPKT membolehkan kerajaan mengawal tapisan permohonan dengan lebih telus

Walau bagaimanapun, dari sisi kelemahannya juga tidak boleh dipertikai apabila akan ada permohonan yang dibuat melalui data peribadi individu lain. Ini mungkin akan menyukarkan pihak kementerian yang terlibat untuk mengesan ‘pemohon’ sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini setelah rumah itu diduduki dan individu yang identitinya digunapakai terpaksa menanggung akibat tersebut.

Adalah menjadi satu perkara baik sekiranya KPKT mengambil beberapa inisiatif dalam memperbaharui syarat permohonan rumah PPR. Antaranya, dengan melakukan beberapa perubahan dari segi permohonan atas talian. Ini bagi memudahkan proses permohonan untuk disemak secara terus dengan melibatkan KPKT dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Di samping itu, Kerajaan Pusat disarankan agar menyelaraskan syarat permohonan terhadap semua negeri. Dengan cara ini, ia memudahkan para pemohon untuk memohon PPR tanpa rasa terbeban dengan syarat tambahan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri. Ini kerana syarat yang dikenakan Kerajaan Negeri kadang-kala dilihat agak keterlaluan dan di luar kemampuan rakyat negara ini khususnya golongan B40.

Dalam hal ini, pelaksanaan garis panduan baru yang diperkenalkan oleh KPKT dilihat sangat wajar untuk dilaksanakan. Ini kerana ia secara tidak langsung dapat membendung kegiatan ‘jenayah’ pihak tidak bertanggungjawab dengan cuba menggunakan PPR sebagai pusat ‘kegiatan’ mereka. Dengan menggunakan sistem demerit dan penapisan secara ketat dan telus, ia akan membantu kerajaan untuk memastikan permohonan yang dibuat datangnya dari individu yang benar-benar layak untuk program tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here